Categories
NASIONAL

Sarawak berkabung tujuh hari

PETRA JAYA 11 JAN: Tempoh selama tujuh hari berkabung diisytiharkan Kerajaan Sarawak bermula esok sebagai menghormati kematian Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Abang Openg, berkata sepanjang tempoh itu, bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang, manakala semua acara rasmi ditangguhkan, lapor BH Online.

Seiring kedudukannya Allahyarham sebagai pemimpin yang banyak berjasa, beliau berkata, majlis pengebumian negeri akan diadakan esok.

“Jenazah Tan Sri Adenan akan dibawa dari kediamannya di Damai Jaya, Santubong ke Masjid Jamek Negeri, Petra Jaya untuk majlis penghormatan terakhir oleh rakyat dan kenamaan pada jam 10.30 pagi.

“Jenazah akan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya selepas solat Zuhur,” katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani.

Abang Johari turut menyifatkan kematian Adenan sebagai kehilangan besar kepada negeri dan negara, lebih-lebih lagi Allahyarham sarat dengan pengalaman.

“Allahyarham mengamalkan konsep kesederhanaan tetapi tegas memperjuangkan prinsipnya. Sarawak ada dalam jiwanya manakala Allahyarham adalah pemimpin yang amat dekat di hati rakyat,” katanya.

=EZY=