Categories
BERITA UTAMA NASIONAL RENCANA

Selamat tidur, Apai Besai…

OLEH ERMIZI MUHAMAD

Sebaik menjejakkan kaki di bumi Kenyalang, penulis dapat merasai persekitarannya suram ditemani cahaya mendung langit Petra Jaya.

Walaupun kesibukan kota berjalan seperti biasa, namun terukir kesedihan di sebalik wajah rakyatnya ekoran pemergian Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang cukup mengesankan rakyat negeri itu.

Pastinya, pemergian figura pemimpin yang mesra dengan panggilan “Tok Nan” dan “Apai Besai” meninggalkan kesan mendalam kepada setiap tubuh yang menghargai getirnya pengorban Adenan membawa ruang transformasi Sarawak.

Perginya beliau disifatkan terlalu awal oleh masyarakat umum ketika iltizam yang ditunjukkan Adenan untuk terus memacu perubahan pembangunan dan ekonomi negeri.

Perkara itu turut diakui Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menjulang ketokohan pimpinan Adenan.

“Takziah diucapkan. Saya mendoakan semoga Almarhum dianugerahkan Allah SWT husnul khatimah iaitu pengakhiran baik dan mudah-mudahan roh beliau ditempatkan di dalam syurga penuh nikmat Allah.

adenan-satem“Mengenali Allahyarham, dilihat bahawa Adenan adalah tokoh yang berusaha keras untuk melakukan perubahan dan reformasi pentadbiran Sarawak.

“Usaha dilakukan Adenan itu telus demi masa depan negara dan kemajuan kebajikan rakyat Sarawak,” katanya.

Mengimbau perjuangan tokoh itu dalam kancah politik di Sarawak, Adenan dilihat lebih ‘mesra’ berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kalangan rakyat Sarawak.

Hinggakan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016 lalu, nama Adenan diilihat lebih popular berbanding Najib dengan paparan ‘banner’ wajah beliau menghiasi kempen undi jentera Barisan Nasional (BN).

Malahan, kempen raih undi itu diperluas ke seluruh negeri dan semenanjung menerusi ‘hashtag’ #TeamAdenan tular di Twitter dan Facebook.

Ia sekali gus meletakkan Adenan sebagai tokoh pilihan pemimpin rakyat Sarawak, berbanding pimpinan Kerajaan Persekutuan lain di bawah urus tadbir Najib.

Ketika kempen PRU lalu, tidak hairan jika dikatakan kemenangan BN di Sarawak bukan kerana senangnya rakyat negeri itu terhadap BN, sebaliknya lebih kepada senangnya mereka terhadap Adenan.

Tidak sekadar itu, ketokohan Adenan terserlah menerusi sikap keterbukaan pemimpin berkenaan membatasi perbezaan fahaman politik sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang.

Ia dibuktikan menerusi penerimaan secara terbuka Adenan untuk menerima bantuan RM40,000 daripada Kerajaan Selangor ekoran bencana banjir yang melanda negeri itu, pada Februari tahun lalu.

adenan cemeteryKeterbukaan itu sekali gus meletakkan Adenan sebagai pimpinan yang berada di kelasnya, berbeza dengan produk politikus Umno-BN lain.

Tiada siapa menyangka perihal tegasnya untuk tidak membiarkan Sarawak terus berada dalam cengkaman rakus sang penguasa meratah kekayaan hutan dan bahan mentah bumi Kenyalang.

Lebih mengejutkan, Adenan antara pimpinan utama Sarawak yang sering tidak sependapat dengan perdana menteri berkait dasar Persekutuan dalam memberi pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ketika penulisan ini dihasilkan, urusan pengebumian Adenan selesai sekitar jam 3 petang, pada 12 Januari.

Bumi Kenyalang kini disulami warna pekat hitam dengan separuh kibar bendera Sarawak sebagai detik berkabung tujuh hari menghormati pemergian Adenan.

Walaupun jasadnya pergi meninggalkan bumi Kenyalang, namun jauh mungkin namanya dilupakan seluruh rakyat Sarawak.

Selamat tidur, Adenan. Damailah kamu di sana.

Al-Fatihah.

-AA-