Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor kaji penstrukturan kontrak pembersihan sampah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 JAN: Kerajaan Selangor akan mengkaji semula langkah penstrukturan kontrak pembersihan dan kutipan sampah di negeri itu, pada tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk melantik Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi menguruskan pungutan sisa di Selangor.

“KDEB Waste Management (KDEBWM) sudah menjalankan operasi kutipan sampah menerusi pelaksanaan aplikasi IClean Selangor, berkuat kuasa 1 Julai lalu dan akan diperluaskan operasinya.

“Namun, sehingga kini masih ada beberapa kontrak perjanjian membabitkan syarikat kontraktor lama di kawasan PBT lain yang masih meneruskan kerja kutipan dan pembersihan,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya bersedia mengambil alih tiga kontrak pengurusan sampah membabitkan tiga PBT, pada tahun ini.

kdeb-03Beliau berkata, cadangan pengambilalihan itu dibuat selepas tempoh kontrak pengurusan sampah kontraktor terdahulu tamat.

“Jika Kerajaan Negeri mengarahkan kita untuk proses pengambilalihan, kita akan terus jalankan gerak kerja itu.

“Bagaimanapun, kami masih dalam peringkat perbincangan akhir dan sedang menunggu beberapa proses akhir sebelum pengambilalihan berjalan,” katanya.

-AA-