Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Shah Alam tanpa kenderaan Ahad ini

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berharap warga bandar raya itu dan semua pihak turut menjayakan Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan 2017, di Dataran Kemerdekaan, di sini, Ahad ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, ia adalah program permulaan dan pihak berkuasa tempatan PBT itu menyarankan orang ramai dan pihak berkaitan memberi kerjasama dalam menjayakannya.

“Program ini ke arah melahirkan warga Shah Alam yang sihat dan cergas. Ia adalah permulaan untuk melaksanakan program hari tanpa kenderaan di bandar raya ini.

MBSA Zaharin“Saya amat mengalu-alukan warga bandar raya ini untuk bersama menjayakannya kerana ia salah satu aktiviti dalam perancangan menjadikan Shah Alam sebagai bandar rendah karbon, menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Bengkel Program Rangks Kerja Bandar Rendah Karbon Shah Alam 2017, di sini, hari ini.

Katanya, prorgram bermula jam 6.30 hingga 9.30 pagi itu adalah perintis dan sekiranya mendapat sambutan, kemungkinan akan dijalankan sebulan dua kali atau bergantung kepada keadaan.

“Buat masa ini, kita akan jalankan sebulan sekali dalam tempoh tiga jam dengan penutupan jalan raya dalam jarak lebih kurang lima kilometer di kawasan Seksyen 14 Shah Alam.

“Ia bagi memberi peluang kepada warga Shah Alam untuk datang dan melakukan aktiviti selain daripada memandu kenderaan dan mereka boleh berjogging, berbasikal serta bermain papan luncur.

“Program juga diisi dengan acara senamrobik, ceramah kesihatan serta pelbagai gerai jualan termasuk ‘food truck’ bagi menghidupkannya,” katanya.

Antara jalan raya akan ditutup bagi mejayakan program itu ialah Persiaaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai.

-NFN-