Categories
KENYATAAN MEDIA

Terus positif bangkit hadapi cabaran 2017

OLEH MOHAMAD RAIMI AB RAHIM

Ketibaan tahun baru 2017 adalah detik getir yang akan menduga ketahanan rakyat Malaysia untuk mendepani cabaran persekitaran. Ini memandangkan perubahan-perubahan kritikal akan berlaku meliputi aspek politik, ekonomi, sosial dan geo-strategi semasa.

Tahun 2017 bakal menyaksikan amalan demokrasi yang membentuk sistem politik sejagat akan diuji ketahanannya. Kemenangan Donald Trump, peristiwa Brexit, adalah indikasi kritikal akan kemampanan sistem tersebut sebagai saluran politik sederhana untuk membentuk tatakelola rakyat yang baik.

Partisipasi rakyat dalam ruang demokrasi perlu ditingkatkan. Rakyat perlu peka terhadap hak serta ruang untuk mereka bersuara serta melibatkan diri dalam lapangan aktivisme masyarakat madani.

Tahun 2016 telah mendedahkan kita dengan pelbagai kepincangan dan kebobrokan terutama seperti polemik 1MDB yang kini menjerut kemampanan ekonomi rakyat.

Pendedahan skandal rasuah membabitkan beberapa orang pegawai Jabatan Air Sabah, seharusnya menyedarkan rakyat Malaysia betapa membarahnya gejala tersebut dan betapa pentingnya rakyat perlu terus bersuara untuk memperjuangkan karamah insaniyyah mereka.

Kejatuhan nilai ringgit serta menguncupnya ruang ekonomi untuk rakyat yang disaksikan sepanjang 2016, adalah indikasi jelas akan cabaran ekonomi yang bakal dihadapi rakyat.

Gelombang Revolusi Industri Keempat mulai menampakkan kesan sedikit demi sedikit. Gelombang ini menuntut kita membentuk ketahanan diri yang dinamik untuk mendepani.

Atas semangat zaman yang serba mencabar ini; generasi muda harus berperanan untuk menghembuskan nafas baharu dalam bentuk “capital empowerment”.

Gelombang kemandirian sosio-ekonomi yang bakal melatari tahun 2017 dan tahun-tahun mendatang; menggamit generasi muda untuk berperanan untuk mengetengahkan idea, melakar serta memeta jalan ke arah masa depan yang sangat bermakna untuk umat.

Krisis kemanusiaan sejagat semakin getir. Kemelut di Syria sudah melewati fasa baru yang menguji keprihatinan umat dan masyarakat sejagat.

Jumlah pelarian serta mangsa peperangan di Syria dan seluruh dunia dijangka akan terus meningkat. Begitu juga dengan tragedi kemanusiaan membabitkan umat Islam Rohingya di sebalik berkembangnya bibit-bibit demokrasi di Myanmar

Advokasi serta tekanan masyarakat antarabangsa perlu ditingkatkan untuk membayangi keganasan serta jenayah kemanusiaan yang dilakukan di Syria, Rohingya, beberapa tempat lain. Umat Islam perlu ambil iktibar keberkesanan advokasi isu palestine yang semakin meluas di kalangan masyarakat antarabangsa.

Di sebalik cabaran-cabaran yang menakutkan ini; umat Islam dan rakyat Malaysia tidak seharusnya berputus asa.

Cabaran-cabaran ini perlu disikapi secara positif & proaktif selaras semangat perjuangan Nabi Muhammad S.A.W yang terus bangkit tanpa menoleh ke belakang. (menerusi jalan dakwah) sepertimana seruan dalam Surah Al-Muzammil.

Insya’Allah harapan dan kejayaan akan terjelma dari segala usaha dan doa kita bersama! Selamat Tahun Baru 2017!

* Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia