Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar dijangka bebas 2018

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 10 FEB: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan dibebaskan pada 2018 jika beliau berkelakuan baik, kata Ketua Penerangan parti itu, Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau berkata, jika Anwar dibebaskan pada tahun hadapan, ia bermakna bekas ketua pembangkang itu dipenjarakan selama tiga tahun berbanding hukuman sebenar selama lima tahun.

“Anwar dipenjarakan pada 2015, jadi beliau sepatutnya dibebaskan pada 2020 tetapi jika berkelakuan baik, beliau akan dibebaskan pada 2018.

“Bagaimanapun, tidak kiralah sama ada Anwar bebas pada 2020 atau 2018, kita tetap tak rela Anwar dipenjarakan,” katanya ketika Rumah Terbuka Muhibbah #BebasAnwar di hadapan Penjara Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Syed Ibrahim berkata, pemenjaraan Anwar jelas bermotifkan politik ekoran ketakutan Umno-Barisan Nasional (BN) terhadap kekuatan pengaruh pemimpin itu.

Syed Ibrahim Syed NohKatanya, beberapa badan hak asasi manusia antarabangsa termasuk yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut mendesak supaya Anwar dibebaskan dan dibayar pampasan.

“Anwar mampu menggerakkan berjuta rakyat Malaysia yang ditakuti Umno-BN,” katanya.

Rumah Terbuka Muhibbah #BebasAnwar diadakan sempena ulang tahun kedua Anwar dipenjarakan dengan disertai hampir 1,000 hadirin.

-AA-