Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Wan Azizah kekal ketua pembangkang

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 10 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) sebulat suara memilih Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ketua pembangkang dan keputusan itu kekal menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PAKATAN kini memberi fokus menghadapi PRU-14 serta menolak pandangan ahli terbaru DAP, Datuk Zaid Ibrahim bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pemimpin de facto pembangkang.

“Kita ada ketua pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kita sedang bersiap untuk pilihan raya umum,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Zaid yang menyatakan terdapat “persetujuan” dalam kalangan pembangkang berkenaan kedudukan Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ekoran Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di penjara.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, beliau bersetuju dan sependapat dengan Mahathir ekoran penyertaan Zaid ke dalam DAP.

“Cuma saya setuju dengan pandangan Dr Mahathir, kita harap beliau kekal lama dalam DAP, ” katanya.

Zaid adalah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pernah menyertai Umno dan KEADILAN sebelum menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) tetapi meninggalkannya selepas itu.

-AA-