Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar tak pernah rancang guling Tun M 1998

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan merancang untuk menggulingkan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada jawatan presiden Umno, pada tahun 1998.

Dakwaan itu dibuat tiga orang saksi yang dibawa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika Anwar memberi keterangan dalam saman fitnahnya terhadap Khairy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

“Tidak ada pemilihan parti (Umno), pada tahun 1998. Majlis Tertinggi menetapkan tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

anwar-parlimen“Pada mesyuarat itu, saya menyokong usul tiada pertandingan bagi jawatan presiden tetapi selainnya termasuk jawatan yang saya sandang ketika itu iaitu timbalan presiden Umno dipertandingkan.

“Kenyataan saya berkaitan dilaporkan dalam media,” katanya merujuk laporan The Star, bertarikh 11 Mei 1998.

Anwar berkata, isu dirinya mencabar Mahathir tidak pernah timbul walaupun naib presiden ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu beliau membawa beberapa isu berkenaan Proton, Perwaja, Empangan Bakun kepada presiden.

“Saya sering diminta naib presiden untuk menyampaikan kepada perdana menteri (Mahathir) pandangan dan keprihatinan pimpinan juga akar umbi. Namun, soal mencabar kedudukan presiden tidak pernah berbangkit,” katanya.

Katanya, ia termasuk perbincangan dengan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sering membawa setiausaha pemuda, Datuk Saifuddin Nastion.

“Saksi yang dikemukakan Khairy tidak pernah hadir atau terbabit dalam pertemuan itu. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku setiausaha pejabat timbalan perdana menteri menetapkan dan merekod semua jadual pertemuan. Datuk Yassin Salleh, ketua setiausaha pejabat TPM menetapkan jadual rasmi mesyuarat jabatan.

“Setiausaha Politik TPM, Datuk Mansor Othman bertindak selaku penyelaras dan hadir bersama.

“Maka, tuduhan bahawa Datuk Ezam menjaja isu cabaran jawatan presiden tidak berasas dan pastinya tidak berkait dengan saya atau Datuk Mansor,” kata Anwar.

Beliau mengulas keterangan yang dibuat Datuk Lokman Adam, Datuk Ishak Ismail (ADUN Lenggeng) dan Datuk Ali Shikh yang memberi keterangan di mahkamah sebelum ini bahawa Datuk Ezam Mohd Noor memberitahu mereka bahawa Anwar mahu menjatuhkan Mahathir.

-NFN-