Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Apa jaminan kerajaan terhadap Proton?

OLEH CHANG LIH KANG

Proton telah berada di dalam pasaran sejak pertengahan tahun 1980-an dan sehingga kini masih memiliki kepentingan penjenamaan di pasaran domestik meskipun berdepan dengan cabaran lampau dan semasa. Hari ini, Najib Razak seakan mengembalikan Malaysia ke era negara membangun seperti zaman 1980an dahulu, sedangkan pentadbiran Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim suatu masa dahulu telah berjaya merintis Malaysia ke arah pemodenan setanding Korea dan Jepun.

Proton Holdings Bhd (Proton) dikatakan akan memaklumkan rakan strategik asingnya pada bulan April atau Jun depan. Sehingga saat ini, difahamkan terdapat tiga atau empat buah syarikat pelaburan asing sudah menunjukkan minat terhadap Proton.

Saya mengalu-alukan penyertaan pelabur asing untuk bersama-sama dengan Proton namun amat bimbang sekiranya kesan penjualan Proton kepada rakan kongsi strategik asing (FSP) akan membawa kesan kepada pekerja tempatan di kilang pengeluarannya yang terletak di Tanjung Malim, Perak.

Proton perlu memberi jaminan bahawa pekerja tempatan tidak dibuang kerja malah dilindungi daripada sebarang strategi yang akan mengurangkan jumlah pekerja seperti sedia ada. Hal ini perlu dimuktamadkan secara jelas di dalam kontrak atau syarat yang bakal diputuskan secara bersama nanti. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan ekonomi negara terjejas dengan kenaikan kadar pengangguran. Perlu diingatkan bahawa kos sara hidup di Malaysia semakin meningkat, maka pertambahan bilangan rakyat Malaysia yang tiada pendapatan menyebabkan kadar jenayah akan meningkat, di samping kuasa beli rakyat semakin lemah.

Di samping itu, Proton juga perlu memberikan jawapan mengenai status kerjasama dengan vendor-vendor tempatan. Adakah vendor-vendor tempatan masih diberikan keutamaan dalam perolehan tender dan kontrak? Jika prinsip sama rata antara vendor tempatan dan luar negara dipraktikkan, adakah vendor tempatan mampu untuk terus bersaing dengan vendor-vendor dari China yang tentu lebih murah harganya nanti?

Perniagaan automotif sememangnya memerlukan pasaran yang luas di peringkat antarabangsa supaya kilang pengeluaran dan pembuatan Proton yang terletak di negara ini dapat dipertingkatkan dan seterusnya memacu pertumbuhan aktiviti eksport kereta di rantau Asia khususnya.

Meskipun begitu, apa yang perlu dibimbangkan adalah dengan memastikan tiada pekerja tempatan kira-kira 60,000 pekerjaan sedia ada di sektor ini tidak diabaikan begitu sahaja meskipun membawa masuk rakan strategik asing ke dalam negara ini.

Kerajaan seharusnya memainkan peranan penting dengan memberikan pandangan terhadap Proton bagi melancarkan proses penilaian, penjelasan dan rundingan antara dua pihak dapat disepakati secara bersama tanpa sebarang permasalahan di masa hadapan.

Apa yang perlu dilakukan Proton ialah mendapatkan rakan strategik yang sesuai bagi membantu syarikat itu dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Proton tanpa perlu mendapatkan pinjaman mudah daripada kerajaan lagi untuk terus bertahan.

Saya bimbang sekiranya kerajaan Umno BN dan Proton tidak mengutamakan pemindahan teknologi serta latihan semula pekerja industri diabaikan setelah penglibatan pelabur asing, barangkali Proton yang pernah mengepalai industri automobil nasional bakal dijual 100 peratus sahamnya kepada syarikat luar negara.

Walau apapun yang bakal dilakukan oleh negara pada hari ini, kepentingan negara harus dilihat terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dicapai.

*Chang Lih Kang adalah ADUN Teja