Categories
AGENDA NASIONAL

Proton beri diskaun 50 peratus selenggara kenderaan mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 30 DIs: Proton menawarkan pakej bantuan pelanggan yang dipertingkat bagi meringankan beban kewangan mereka untuk membaiki kenderaan yang rosak akibat banjir menerusi diskaun 50 peratus bagi alat ganti terpilih untuk semua model kecuali Proton X50 dan Proton X70.

Dalam kenyataan hari ini, Proton berkata pakej baharu dan ditambah baik itu turut merangkumi servis tunda serta pembersihan luar dan ruang enjin secara percuma, selain diskaun caj buruh yang ditingkatkan kepada 25 peratus untuk semua model kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata sehingga kini, pusat servis Proton telah menerima kira-kira 600 kenderaan dan lebih banyak kenderaan dijangka tiba pada hari dan minggu akan datang.

“Proton amat bersimpati dengan nasib mangsa banjir baru-baru ini berikutan kebanyakannya terdiri daripada kumpulan B40. Sehubungan itu, kami telah meningkatkan lagi pakej bantuan untuk meringankan beban kewangan mereka,” katanya.

Bagi pemilik Proton X50 dan Proton X70, diskaun untuk alat ganti terpilih telah dinaikkan kepada 25 peratus berbanding 20 peratus seperti diumumkan sebelum ini.

Pelanggan yang diinsuranskan bawah Program Insurans Proton layak menerima bayaran bantuan banjir sebanyak RM1,000. Tawaran bantuan ini boleh didapati daripada pengedar 3S/4S Proton terpilih dan tertakluk kepada terma dan syarat.

“Selain pakej bantuan, Proton juga akan berunding dengan pihak bank untuk membenarkan pelanggan membuat bayaran secara ansuran melalui kad kredit bagi pembayaran bil. Ini akan membantu dari segi aliran tunai mereka kerana tidak dikenakan bayaran faedah dan tidak perlu membuat bayaran penuh secara sekali gus,” katanya.

Pada 22 Dis lepas, Proton dalam kenyataan mengumumkan bantuan kepada semua pemilik model Proton yang mengalami kerosakan kereta akibat banjir baru-baru ini dengan menawarkan diskaun 20 peratus bagi alat ganti tertentu serta diskaun 20 peratus untuk caj buruh kepada pelanggan yang telah membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Dalam kenyataan itu juga, syarikat pengeluar kereta itu berkata ia akan menanggung caj tunda sehingga RM200 dan caj pembersihan bahagian luar serta ruang enjin sebanyak RM100.

Pelanggan boleh menghubungi talian pelanggan Proton di 1-800-88-8398 untuk keterangan lanjut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Proton tawar diskaun alat ganti pelanggan terjejas akibat banjir

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Proton akan membantu semua pemilik model Proton yang mengalami kerosakan kereta akibat banjir baru-baru ini dengan menawarkan diskaun 20 peratus bagi alat ganti tertentu serta diskaun 20 peratus untuk caj buruh kepada pelanggan yang telah membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Selain itu, syarikat pengeluar kereta itu juga akan menanggung caj tunda sebanyak sehingga RM200 dan caj pembersihan bahagian luar serta ruang enjin sebanyak RM100.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata fenomena banjir baru-baru ini telah menjejaskan ribuan penduduk terutama di Selangor dan Shah Alam.

“Ramai pelanggan kami mengalami kerosakan tempat tinggal serta perniagaan termasuk kereta mereka. Oleh itu, kami ingin menghulurkan bantuan untuk memastikan kenderaan mereka boleh diperbaiki dan memberi jaminan bahawa pelanggan kami adalah keutamaan syarikat.

“Keadaan yang luar biasa memerlukan tindak balas yang luar biasa juga. Proton akan berusaha untuk memastikan kenderaan pelanggan diperbaiki secepat mungkin dan menasihati mereka untuk terus ke pusat perkhidmatan kami supaya dapat menikmati faedah ini,” katanya.

Untuk keterangan lanjut boleh hubungi talian pelanggan Proton di 1-800-88-8398.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Proton catat eksport tertinggi dalam 98 bulan sejak 2013

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Proton Holdings Bhd berjaya menyerahkan sejumlah 669 unit kenderaan kepada pengedar luar negara pada Mei 2021, sekali gus mencatat angka jualan eksport tertinggi dalam tempoh 98 bulan sejak Mac 2013.

Dalam kenyataannya pada Rabu, pengeluar kereta nasional itu berkata pada akhir Mei 2021, jumlah jualan setakat tahun ini adalah 174 peratus daripada sasaran ditetapkan serta kurang enam peratus daripada angka keseluruhan 2020.

Proton menyifatkan pertumbuhan itu dipacu oleh permintaan di pasaran tertentu, termasuk pasaran baharu serta sedia ada.

“Pakistan misalnya merupakan pasaran baharu syarikat namun muncul sebagai pasaran ekport terbaik bagi tempoh lima bulan pertama 2021.

“Selain itu, Brunei yang telah menjual kereta Proton sejak 1987 pula di tempat ketiga dari segi jualan tahun ini. Malah pada Mei lepas, pengimport Proton PAD Motors telah mencatat jualan terbaik syarikat sejak penubuhannya,” katanya.

Alpha Ezz El-Arab yang merupakan pengimport dan pengedar di Mesir, juga berjaya menjual sejumlah 350 unit setakat tahun ini dan di tempat kedua bagi pasaran eksport Proton.

Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu berkata perancangan bagi 2021 adalah untuk meningkatkan jualan eksport secara agresif.

“Walaupun terdapat kekangan antarabangsa serta peningkatan kos penghantaran akibat COVID-19, kami kekal yakin dapat mencapai sasaran berikutan pelan jualan pengimport selain kelebihan produk-produk yang kami tawarkan.

“Selepas lima bulan, kami hampir menggandakan jumlah jualan berbanding sasaran awal dan berharap ini menjadi petanda kejayaan berterusan untuk tahun ini,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung penularan COVID-19 juga  menyaksikan operasi syarikat automotif terbatas berikutan penutupan sementara pusat jualan yang dijangka mempengaruhi jualan keseluruhan industri bagi tempoh beberapa bulan.

“Namun, Proton kekal optimis berikutan prestasi bahagian jualan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Xu berkata sejajar dengan peningkatan pertumbuhan jualan domestik, pemasangan model Proton di pasaran eksport juga penting bagi memastikan sasaran jangka panjang dapat dicapai.

Ini termasuk permulaan pemasangan tempatan bagi model Proton Saga di Kenya dan seterusnya di Pakistan.

“Jika semuanya berjalan lancar, rakan kongsi kami di Pakistan iaitu Al-Haj Automotive akan memulakan operasi pemasangan Proton Saga pada akhir Julai atau awal Ogos di kilang baharu di Karachi.

“Susulan itu, pemasangan Proton X70 akan dijalankan dan kami menaruh harapan tinggi perkembangan ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan jualan di rantau Asia Selatan,” katanya.

Selain itu, walaupun pertumbuhan jualan di pasaran eksport menjadi bukti penerimaan luas jenama Proton dan produknya, teras pencapaian sasaran jangka panjang adalah menerusi usaha mengekalkan pertumbuhan di pasaran ASEAN.

Rantau ini juga merupakan pasaran sengit dengan kehadiran pelbagai jenama antarabangsa melabur dalam kemudahan pengeluaran untuk pasaran tempatan dan eksport selain persaingan pengilang tempatan.

Menurut Xu, walaupun kehadiran Proton di pasaran ASEAN lebih terhad kepada Brunei pada masa ini, namun syarikat itu menyasarkan untuk memasuki semula dua pasaran terbesar rantau ini iaitu Thailand dan Indonesia dalam masa terdekat.

“Bagi membolehkan Proton menduduki tempat ketiga dari segi jualan tertinggi di ASEAN, kami perlu mencatat kedudukan secara meluas di Thailand dan Indonesia.

“Sebagai pasaran automotif terbesar rantau ini, kedua-dua negara itu mempunyai potensi jumlah (pasaran) meluas walaupun persaingannya juga amat sengit.

“Pihak kami sedang berusaha mengenal pasti rakan kongsi untuk mewujudkan satu rangkaian memastikan model perniagaan yang berdaya maju. Oleh itu, matlamat kami adalah untuk kembali ke pasaran Thailand pada 2022,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Proton rekod lonjakan jualan tertinggi dalam tempoh 7.5 tahun

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Proton Holdings Bhd menjual sebanyak 14,989 unit kenderaan di pasaran tempatan dan eksport pada bulan Mac 2021, meningkat 26.2 peratus berbanding Februari dengan penguasaan pasaran dianggarkan mencapai 23.5 peratus.

Syarikat pengeluar kereta nasional itu mencatatkan bukan sahaja penjualan tertinggi baharu untuk tahun ini tetapi turut mencapai bulan penjualan terbaik sejak September 2013.

Secara keseluruhan, Proton mengekalkan kedudukan kedua dalam jadual kedudukan penjualan.

“Untuk suku pertama tahun ini, syarikat mencapai jumlah jualan terkumpul sebanyak 32,826 unit dan angka tertingginya dalam penguasaan pasaran suku tahunan sejak Mac 2012,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Proton berkata penghantaran untuk dua model SUVnya terus meningkat pada bulan Mac selepas talian pengeluaran baharu di Tanjung Malim meningkatkan pengeluarannya untuk bulan ini, menyaksikan 3,513 unit Proton X50 dihantar kepada pelanggan sementara Proton X70 menunjukkan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 58.4 peratus kepada 2,337 unit.

“Jika digabungkan, ini bermakna Proton telah mencapai rekod dalaman baharu dengan 5,850 unit SUV dihantar, mengalahkan rekod sebelumnya sebanyak 4,820 unit pada bulan lalu,” jelasnya.

Bagaimanapun, Proton Saga kekal sebagai model paling laris syarikat dengan sebanyak 5,589 unit telah dihantar dengan penjualan untuk sedan segmen-A itu telah meningkat sebanyak 32.5 peratus berbanding Februari.

Proton Persona, Iriz dan Exora juga mencatatkan angka terbaik mereka untuk tahun ini dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen-C itu sekali lagi menduduki tempat pertama bagi segmennya, masing-masing menyaksikan penjualan 2,151 unit, 810 unit, 584 unit pada bulan Mac.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd Roslan Abdullah berkata setelah mencatatkan permulaan yang agak lemah, industri automotif Malaysia akhirnya mencapai kemajuan pada tahun 2021.

“Kami menganggarkan TIV melebihi 63,000 unit, menunjukkan semua jenama akan mencatatkan jumlah terbaik mereka untuk tahun ini.

“Bagi Proton, bulan Mac adalah bulan penjualan yang sangat baik kerana kami mencapai angka tertinggi bagi tempoh 90 bulan tetapi merasakan pencapaian kami berkurangan kerana ia boleh dipertingkatkan sekiranya kami dapat menghasilkan lebih banyak unit,” jelas beliau.

Roslan menambah buat masa ini, Proton masih memiliki banyak pesanan untuk dipenuhi dan syarikat akan berusaha untuk meningkatkan pengeluaran dalam beberapa bulan ini, di samping mengekalkan fokus kami dalam penyampaian produk yang berkualiti tinggi.

“Kami juga sedar bahawa insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan berakhir pada penghujung bulan Jun, jadi kami berhasrat untuk memastikan sebanyak mungkin pelanggan dapat menikmati pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Jualan Proton susut 29.9 peratus pada Jan 2021

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Proton Holdings Bhd menjual sebanyak 5,964 unit kenderaan kepada pelanggan pada Januari 2021, menyusut 29.9 peratus berbanding bulan sama tahun lepas.

Syarikat itu berkata pegangan pasaran dianggarkan pada tahap 18.5 peratus iaitu kira-kira 1.0 peratus lebih rendah berbanding Januari 2020.

“Bagaimanapun, kadar jualan itu mencerminkan ketidakbolehan pengeluaran kenderaan untuk memenuhi permintaan dan bukannya pengurangan tempahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Model paling laris Proton pada Januari adalah Proton Saga dengan sejumlah 2,583 unit dihantar kepada pembeli, menjadikannya sedan segmen-A kedua paling popular.

Proton X70 dan Proton X50 pula kekal di tangga teratas SUV segmen-C dan SUV segmen-B (lima tempat duduk) walaupun jumlah yang didaftar berkurangan kepada 892 unit dan 1,082 unit.

Bagi Proton X50, sebanyak 4,809 unit sudah dihantar kepada penempah semenjak dilancarkan pada 27 Oktober, 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata Januari adalah bulan yang agak sukar bagi industri otomotif Malaysia.

Harapan tinggi momentum yang dibina pada akhir tahun lepas dibawa ke tahun baharu ini, terutamanya selepas pengumuman insentif PENJANA akan kekal sehingga akhir Jun tahun ini.

Malangnya, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua menghampakan harapan itu.

“Namun demikian, Proton dan ahli-ahli lain industri otomotif menyokong sepenuhnya langkah diambil kerajaan untuk mengawal kadar jangkitan.

“Keselamatan semua rakyat perlu diutamakan dan syarikat perlu menukar strategi jika ingin mencapai matlamat dalam keadaan pasaran yang berubah,” kata beliau.

Roslan menambah walaupun buku pesanan Proton masih penuh dengan tempahan sejak akhir tahun lalu, syarikat perlu bekerja keras untuk pengeluaran menepati kadar permintaan.

Sebagai industri yang bergantung kepada rantaian bekalan global, syarikat otomotif terjejas jika ada kelewatan penghantaran bahagian kerana ini memberi kesan buruk kepada barisan pengeluaran mereka, jelasnya.

“Langkah seperti PKP memberi kesan kepada jumlah pelanggan yang datang ke bilik pameran, tetapi Proton boleh menerima tempahan dalam talian untuk meningkatkan jualan kami.

“Bagaimanapun, talian bekalan kami terjejas oleh koronavirus untuk beberapa bulan lepas dan ini menyukarkan kami untuk membina kenderaan kerana bekalan bahagian tidak konsisten.

“Situasi ini turut dihadapi semua pengeluar kenderaan semenjak tahun lepas tetapi kami berharap ketibaan vaksin menstabilkan keadaan ini pada pertengahan tahun,” kata Roslan.

Walaupun terdapat kelewatan, Proton berhasrat meneruskan rancangan pelancaran produknya untuk 2021 dalam usaha meningkatkan penjualan di dalam dan luar negara.

“Buat masa ini, Proton mengikuti jadual pelancaran produk. Kami akan melancarkan beberapa produk menarik tahun ini,” kata beliau.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

11,411 unit Proton dijual Nov 2020, naik 18 peratus

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Jualan kereta Proton meneruskan trajektori pertumbuhannya dengan mencatatkan prestasi kukuh pada akhir 2020 selepas dengan 11,411 unit dijual pada November, 2020, kadar pertumbuhan sebanyak 18 peratus tahun ke tahun.

Dalam satu kenyataan, Proton Holdings Bhd (Proton) berkata jualan yang dicatatkan pada November menjadikan jumlah unit kereta Proton dijual setakat tahun ini adalah 96,410 unit.

“Walaupun jualan untuk model Proton lain untuk bulan ini sedikit menurun berbanding Oktober, penghantaran Proton X50 yang baharu mula mendapat momentum dengan 1,756 unit telah dihantar, menjadikannya kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B (lima tempat duduk) terlaris di Malaysia.

“Digabungkan dengan jualan 2,157 unit Proton X70, ini menjadikan Proton sebagai mendahului jualan SUV secara keseluruhan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.

Jualan kereta Malaysia terus mengungguli unjuran pasaran dari awal tahun ini, dengan jumlah keseluruhan industri dianggarkan melebihi 56,000 unit untuk bulan ketiga berturut-turut.

“Sebilangan besar ini adalah disebabkan oleh tawaran akhir tahun oleh jenama kereta.

“Tahun ini kami dapat memasukkan insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan pelancaran model baharu yang popular seperti Proton X50 sebagai pemacu pertumbuhan volum,” kata Roslan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Proton lancar laman web kereta terpakai

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Proton Holdings Bhd (Proton) melancarkan laman web kereta terpakainya, Proton Certified Pre-Owned (PCPO) untuk membolehkan pelanggan mendapatkan maklumat mengenai stok semasa daripada 36 pengedar di seluruh negara dan tukar beli kenderaan untuk menerima tawaran hebat pembelian model baharu Proton.

Dalam kenyataan hari ini, Proton berkata berikutan jumlah jualan yang meningkat pada 2019, ia jelas menunjukkan kecekapan pemprosesan tukar beli kereta pelanggan adalah kunci untuk mengekalkan kadar pertumbuhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata sehubungan itu, Proton mewujudkan bahagian Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) untuk membina rangkaian pengedar yang berkebolehan menjual kereta terpakai bersama kereta baharu.

“Semua pengedar perlu memenuhi beberapa syarat dan bersetuju mengambil langkah yang diperlukan untuk menyediakan stok tukar beli mereka sebelum dijual.

“Antara syarat lain bagi kereta PCPO ialah tidak melebihi tujuh tahun dengan jarak tempuh tidak melebihi 130,000 kilometer semasa ditukar beli dan bebas kerosakan disebabkan banjir atau kemalangan besar yang mungkin mempengaruhi kekuatan struktur kereta,” katanya.

Menurut Roslan, PCPO adalah langkah Proton yang selanjutnya untuk membina ekosistem yang menyeluruh.

“Selain terus menawarkan produk baharu dan ditambah baik, kami juga mahu menarik perhatian mereka yang ingin membeli kereta terpakai serta menawarkan kaedah yang senang dan cepat untuk pelanggan menukar beli kereta,” katanya.

Beliau berkata semua kereta PCPO diberi jaminan tambahan selama setahun untuk bahagian enjin dan kotak gear serta khidmat servis percuma yang boleh ditebus sehingga enam bulan selepas tarikh pendaftaran.

Roslan berkata laman web itu turut menawarkan jenama kereta lain yang ditukar beli melalui PCPO, namun, kenderaan itu tidak akan menerima jaminan tambahan daripada syarikat.

Bagaimanapun, ia akan menerima pemeriksaan menyeluruh dan dibaik pulih sekiranya perlu sebelum dijual.

“Selain membantu meningkatkan jualan kereta baharu, bahagian UCM Proton ditubuhkan bertujuan menstabilkan dan meningkatkan nilai kenderaan Proton secara beransur-ansur.

“Dengan menawarkan kereta terpakai yang berkualiti tinggi, kami berharap harga kereta terpakai Proton akan meningkat secara keseluruhan dan memudahkan pelanggan mendapat kadar pinjaman kewangan yang kompetitif dan nilai tukar beli yang tinggi apabila ingin membeli kereta baharu,” kata Roslan.

Untuk maklumat lanjut, layari https://used-cars.proton.com

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

49 pekerja Proton di Shah Alam positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Proton Holdings Bhd mengesahkan 49 lagi pekerjanya telah disahkan positif Covid-19 selepas seorang pekerjanya disahkan dijangkiti pandemik itu pada 14 Oktober.

Dalam kenyataan hari ini, ia memaklumkan 49 pekerja yang terlibat bertugas di bahagian kejuruteraan di Shah Alam, Selangor.

“Buat masa ini, syarikat telah mengarahkan semua pekerja yang tidak perlu hadir secara fizikal di fasiliti berkenaan untuk bekerja dari rumah sebagai langkah pencegahan.

“Pihak syarikat akan terus mengikut langkah-langkah pembasmian yang disyorkan sambil mengambil tindakan lebih ketat untuk mengurangkan penularan pandemik ini,” katanya.

Menurut Proton, aktiviti pengesanan kontak sedang dijalankan dan pasukan khas Covid-19 akan memantau situasi berkenaan.

Katanya, syarikat akan terus mematuhi semua garis panduan dan prosedur yang disyorkan.

Malah, pembasmian kuman pada setiap jam turut dijalankan di Pusat Servis Kecemerlangan Proton dan bilik pamerannya di Shah Alam dan semua pekerja yang berhadapan dengan pelanggan perlu mematuhi langkah keselamatan.

“Proton bekerjasama dengan pihak berkuasa dan berpuas hati dengan tindakan yang telah diambil buat masa ini.

“Keselamatan semua pekerja Proton, pelanggan dan rakyat Malaysia akan sentiasa kekal sebagai keutamaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Jualan Proton naik empat bulan berturut, tempahan lepasi jangkaan

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Momentum jualan Proton Holdings Bhd (Proton) meningkat dari bulan Ogos ke September apabila syarikat automotif nasional itu mencapai keputusan positif bagi kadar jualan tahun ke tahun untuk bulan keempat berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton EDAR, Roslan Abdullah berkata jumlah jualan pada September adalah 11,935 unit, ia adalah kedua tertinggi bagi 2020 bersamaan dengan penambahan 4.9 peratus berbanding Ogos dan 12.5 peratus berbanding pada bulan sama pada 2019.

“Proton menjual sebanyak 73,607 unit kenderaan pada tahun ini, bersamaan dengan pegangan pasaran 21.6 peratus dan menduduki tempat kedua dalam industri automotif Malaysia,” kata Proton dalam kenyataan.

Tiga model Proton mencatatkan jualan tertinggi untuk segmen masing-masing, sama seperti Ogos, tiga model Proton mendahului segmen tersendiri pada bulan ini.

SUV terlaris di Malaysia, Proton X70 mencatat jualan sebanyak 2,849 unit, prestasi jualan yang kedua terbaik dalam tahun 2020. Proton Persona dan Proton Exora juga kekal sebagai model terlaris dalam kelas masing-masing, katanya.

Proton X50 mendapat 20,000 tempahan dalam masa dua minggu. Proton X50 adalah model terbaharu Proton, pembuatan model ini di kilang pengeluaran baharu Proton di Tanjung Malim bermula pada 15 September lepas dan tempahan mula diterima pada hari berikutnya.

“Selepas jualan keseluruhan industri (TIV) melebihi 50,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut, kami boleh membuat anggapan bahawa pasaran automotif Malaysia berada dalam keadaan stabil ketika ini.

“Proton merasa lega kerana pencapaian jualan bulanan ini melebihi jumlah jualan bulanan pada tahun lepas dan ini adalah penunjuk bahawa kita kembali ke tahap penjualan lestari,” katanya.

Setakat ini, dalam masa dua minggu selepas tempahan mula diterima, jumlah tempahan melebihi jangkaan.

“Pihak Proton ingin berterima kasih kepada para pelanggan yang menunjukkan minat yang amat tinggi kepada Proton X50. Kami di Proton akan memberi tumpuan kepada proses pengeluaran untuk memenuhi permintaan pelanggan dalam tiga bulan terakhir bagi 2020 dan pada masa sama, turut memberi penekanan terhadap kualiti produk,” kata Roslan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jualan Proton meningkat 73.2 peratus, tanda awal pemulihan automotif

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Terdapat tanda-tanda awal pemulihan selepas 5,676 kenderaan dijual, meningkat 73.2 peratus berbanding Mac 2020, walaupun perlu mematuhi tatacara operasi piawai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), menurut Proton Holdings Bhd.

Syarikat automotif kembali memulakan operasi di bawah PKPB dan industri itu di Malaysia mengambil langkah-langkah sementara untuk kembali pulih pada Mei dengan hampir sebulan penuh jualan beroperasi.

“Pada Mei 2020, Proton menjual sebanyak 5,676 kenderaan, dengan pegangan pasaran dianggarkan 23.3 peratus. Bagi bulan sama pada 2019, jualan syarikat dicatatkan sebanyak 10,611 unit, menunjukkan perbezaan 46.5 peratus sekali gus menggambarkan keadaan pasaran yang mencabar akibat penularan Covid-19,” menurut Proton.

Bagaimanapun, 5,676 unit pada Mei merupakan satu peningkatan, katanya dalam kenyataan.

“Perintah PKP dan PKPB yang dikeluarkan merupakan kali pertama dalam sejarah Malaysia dan telah memberi kesan kepada setiap aspek ekonomi negara.

“Industri automotif kini beransur-ansur pulih namun seperti yang dijangkakan, bulan pertama adalah tempoh penyesuaian kerana perlu mengamalkan normal baharu yang melibatkan seluruh aspek operasi syarikat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong.

Katanya, ia akan memerlukan beberapa bulan lagi untuk mendapatkan ketepatan bacaan keadaan pasaran ekonomi tetapi Proton yakin akan dapat melihat peningkatan prestasi yang stabil untuk baki tempoh tahun ini.

Jumlah jualan Proton yang dicatatkan dari awal tahun sehingga kini berkurangan sebanyak 23.3 peratus untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini dan bagi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan turut menyusut sebanyak 48.7 peratus dalam tempoh sama.

Dari segi kedudukan pasaran dan pegangan pasaran, Proton kekal sebagai jenama kedua terlaris di Malaysia dengan jumlah pegangan pasaran setakat ini sebanyak 21.1 peratus, sejajar dengan sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini.

Prestasi jualan Proton pada Mei disebabkan empat model syarikat yang mencatatkan jualan tertinggi dalam segmen pasaran masing-masing, katanya sambil menambah Proton X70 kekal menjadi SUV segmen C terlaris di negara ini dan jumlah kumulatifnya pada tahun ini juga menunjukkan SUV itu yang terlaris secara keseluruhan.

Dikeluarkan melalui kilang baharu di Tanjung Malim, model tersebut telah dinaik taraf pada Mei lepas dengan penambahan penapis kabin N95 iaitu Sistem Pembersih Udara Pintar PROTON (P-IAPS). Penapis baharu tersebut turut ditawarkan kepada pemilik sedia ada Proton X70 untuk menggantikan sistem penapis kenderaan mereka, menurut Proton.

Syarikat terus mencatat prestasi terbaik apabila Proton Saga turut menjadi model pilihan pembeli di Malaysia pada Mei. Ini adalah pencapaian kali pertama bagi model tersebut dan turut meletakkannya sebagai sedan segmen A paling popular pada bulan lepas.

Selain itu, model Proton lain yang turut mencatat jualan cemerlang ialah Proton Persona yang merupakan model terlaris bagi sedan segmen B manakala Proton Exora kekal menjadi pilihan utama bagi pasaran MPV segmen C.

Katanya, Proton akan menawarkan nilai yang lebih baik pada bulan ini untuk menarik minat pembeli. Pelanggan yang membeli Proton X70 layak untuk menikmati pembiayaan percuma bagi tahun pertama, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Proton sasar hasilkan 60,000 pelindung muka petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd menghasilkan pelindung muka iaitu komponen penting bagi Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan sektor penjagaan kesihatan.

Operasi pengeluaran yang melibatkan kakitangan Proton itu dijangka bermula pada 13 April ini di ibu pejabatnya di Shah Alam.

Syarikat itu menyasarkan penghasilan 60,000 pelindung muka dalam masa 20 hari.

“Sebagai jenama automotif kebangsaan, usaha Proton ini didorong tanggungjawab membangunkan industri kereta tempatan dan menyokong negara dan rakyat sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan.

“Syarikat mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kereta. Kami menggunakan kelebihan itu untuk menghasilkan peralatan PPE dalam usaha menyokong barisan hadapan negara membendung penyebaran COVID-19,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Radzaif Mohamed dalam kenyataan.

Beliau berkata pelindung muka itu dihantar secara berperingkat dan Proton bekerjasama dengan pihak kementerian untuk mengedarkan peralatan itu secara percuma mengikut tahap keperluan di setiap daerah.

Sebelum ini, syarikat itu meminjamkan 50 unit Proton X70 untuk kegunaan kakitangan Kementerian Kesihatan berikutan penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Proton tutup semua cawangan sehingga 31 Mac

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Proton Holdings Bhd menghentikan semua aktiviti bertemu pelanggan seperti jualan dan perkhidmatan selepas jualan kerana penutupan cawangannya sementara waktu mulai hari ini sehingga 31 Mac dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Syarikat itu berkata ia mematuhi arahan kerajaan dan aktiviti perniagaan mereka berdasarkan kepada garis panduan dikemukakan.

“Aktiviti pengeluaran di kilang Proton Tanjung Malim dan Shah Alam dihentikan serentak kerana kami secara sistematik menutup semua operasi dalam usaha mengurangkan penyebaran Covid-19.

“Kami memberi jaminan, Proton meneruskan semula semua operasi sebaik sahaja pelepasan diberikan oleh kerajaan Malaysia,” kata Proton dalam satu kenyataan hari ini.

“Langkah pencegahan adalah penting untuk menjaga kesihatan dan keselamatan Malaysia dan rakyatnya kekal menjadi keutamaan Proton,” katanya.

-BERNAMA