Categories
NASIONAL

Apa statistik sebenar insiden keganasan senjata api di Malaysia?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 FEB : Kerajaan Persekutuan gagal memberikan statistik sebenar berhubung insiden keganasan melibatkan penggunaan senjata api di negara ini, dakwa Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan kenyataan bercanggah berhubung kes tersebut di Parlimen, pada 8 dan 15 November lalu.

“Menurut jawapan Parlimen ditulis Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 15 November tahun lepas, terdapat 249 insiden keganasan berkaitan dengan senjata api di antara 2014 dan 2016.

“Pecahannya meliputi jumlah 105 kes pembunuhan, 117 kes cubaan membunuh dan 27 kes rompakan bersenjata. Sementara itu, hanya 122 daripada 249 kes diselesaikan setakat ini, pada kadar 49%,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu tidak tepat merujuk kepada jawapan berasingan pada 8 November lalu untuk tempoh sembilan bulan pertama 2016.

“Kes keganasan berkaitan dengan senjata api dilaporkan berjumlah 24 kes pembunuhan, 27 kes cubaan membunuh, dan 31 kes rompakan bersenjata.

WhatsApp Image 2017-02-21 at 22.19.17“Jika 31 kes rompakan bersenjata dilaporkan dalam tempoh Januari hingga September 2016, bagaimana mungkin terdapat 27 kes rompakan sahaja bersenjata berlaku antara 2014 dan September 2016?

“Dalam jangka masa pendek bagi tempoh seminggu Ahmad Zahid memberi dua jawapan bercanggah, menunjukkan kekurangan ketelusan terhadap situasi ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan masyarakat awam berhubung insiden pembunuhan bersenjata membabitkan seorang wanita di Pulau Pinang, semalam.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, mangsa yang sedang memandu di Jalan Pekaka 1 ke Jalan Bukit Gambir dan dihampiri dua lelaki bermotosikal mendekati kereta BMW milik mangsa sebelum melepaskan 10 das tembakan.

=EZY=