Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

#Bebasplastik: Exco ambil pendekatan berbeza

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 FEB: Ketika wujudnya pertikaian umum berkenaan dasar larangan penggunaan beg plastik dan polisterina yang giat dilaksanakan Kerajaan Negeri, Dato’ Iskandar Abdul Samad menggunakan pendekatan berbeza menarik orang ramai menyokong kempen itu.

Beliau yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar mengambil pendekatan membawa bekas makanan sendiri bagi mengurangkan penggunaan plastik di Selangor.

“Tadi minta staf (pekerja) beli makanan tengah hari guna mangkuk tingkat untuk kurangkan sisa.

“Selamat tinggal polisterina,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mula melaksanakan Kempen Pengharaman Beg Plastik dan Polisterina ke arah mewujudkan kestabilan teknologi hijau di negeri ini.

UntitledEkoran pelaksanaan kempen itu, cas 20 sen dikenakan kepada pengguna bagi setiap penggunaan beg plastik di pasaran.

Kerajaan Negeri memperkenalkan dasar itu sebagai komitmen memelihara alam sekitar dengan melaksanakan polisi memerangi pembuangan sampah yang berleluasa dan menekankan isu alam sekitar membabitkan pemanasan global.

Selangor mula melaksanakan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik”, pada 2010 dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan, pada setiap Sabtu.

-AA-