Categories
SELANGOR

Berwajah baru, Sungai Klang kembali bernafas

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 22 FEB: Sebelum ini mungkin tiada yang berminat menghabiskan masa bersantai di Sungai Klang ekoran pemandangannya yang lesu dan dipenuhi sampah.

Namun, setelag menjalani pembaharuan dan penambahbaikan, kawasan yang sugul itu mula mendapat perhatian ramai sebagai salah satu destinasi menarik untuk dikunjungi.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, selain aktiviti memancing yang meningkat saban hari, Sungai Klang turut menjadi lokasi fotografi pasangan pengantin yang baru melangsungkan perkahwinan.

“Kunci utama ialah Sungai Klang hari ini semakin bersih. Kalau sungai kotor, kita promosi apa sahaja aktiviti sekalipun tiada yang mahu berkunjung.

“Apabila sungai bersih, kita berpeluang menarik pelancong, sekali gus mempromosikan Sungai Klang khususnya di Jambatan Kota yang kini menjadi tumpuan pengantin melakukan penggambaran,” katanya kepada SelangorKini.

IMG-20170220-WA0002Yasid berkata, selain ‘key love’ di Sungai Klang yang menjadi tarikan, kawasan itu juga dihiasi lukisan mural yang sesuai untuk sesi fotografi.

Katanya, antara bukti lain yang menunjukkan kerja pemuliharaan Sungai Klang berada pada landasan betul adalah hidupan liar seperti buaya mulai ‘melawat’ kawasan berkenaan.

“Saya diberitahu pemancing, terdapat pelbagai spesies ikan yang ada tetapi paling mudah diperolehi adalah ikan keli.

“Untuk terus mengindahkan kawasan ini, kedai menjual cenderahati diusahakan sukarelawan alam sekitar juga bakal disediakan yang akan beroperasi tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan Selangor lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan peruntukan RM15 juta untuk memulihara dan membangunkan Sungai Klang.

-AA-