Categories
SELANGOR

GHAH bantah rayuan AG kes Akta Hasutan SETPOL MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 FEB : Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) membantah tindakan Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengemukakan rayuan bersabit peruntukan Akta Hasutan terhadap Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Shuhaimi Shafiei.

Pengerusinya, Amir Abd Hadi berkata, keputusan mahkamah membebaskan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda terhadap pendakwaan itu sebelum ini bersifat adil sekaligus menjamin hak kesaksamaan dijamin Perlembagaan.

“Mengapa Peguam Negara perlu merayu bagi keputusan yang membuat undang-undang lebih baik, yang mana menjadikan perbicaraan lebih adil kepada tertuduh kerana ia memerlukan pihak pendakwa membuktikan ‘niat’ seperti dalam semua perbicaraan jenayah?

“Kami menyeru Peguam Negara untuk menarik balik rayuan dibuat dalam kes Mat Shuhaimi,” katanya dalam kenyataan.

Pada bulan November 2016, Mahkamah Rayuan dalam kes Mat Shuhaimi mendapati bahawa Seksyen 3(3) Akta Hasutan, yang menganggap ‘niat’ seseorang tidak relevan dalam kesalahan hasutan sebagai tidak berperlembagaan.

Mahkamah mendapati peruntukan tersebut menjadikan ‘sekatan yang tidak seimbang’ pada kebebasan bersuara dan penghinaan kepada kesaksamaan dan perbicaraan adil yang dijamin didalam Perlembagaan Persekutuan.

Menyambut baik keputusan itu, GHAH juga mengulangi tuntutannya agar akta lapuk itu dimansuhkan selaras tuntutan demokrasi Perlembagaan negara ini.

Terdahulu, Shuhaimi Shafie didakwa di bawah seksyen 4 (1) C Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen berhubung penulisan dalam yang blog.

Shuhaimi didakwa menerbitkan satu penerbitan menghasut di berjudul ; “pandangan saya berasaskan undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959” tentang pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

=EZY=