Categories
NASIONAL

BNM: Kadar inflasi meningkat 1.7%

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 FEB: Kadar inflasi seperti diukur peratus perubahan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 1.7 peratus, pada suku keempat 2016 berbanding 1.3 peratus, pada suku ketiga tahun lalu, didorong pelarasan menaik harga bahan api.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan memaklumkan, bagi tahun 2016 secara keseluruhan, purata inflasi ialah 2.1 peratus menyamai kadar pada 2015.

Katanya, inflasi dalam kategori pengangkutan pula mencatat kadar negatif lebih kecil pada 2.6 peratus, pada suku itu (S3 2016: -7.4 peratus).

Sementara itu, Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 peratus pada suku keempat 2016, mengatasi jangkaan umum penganalisis iaitu pada kadar 4.4 peratus.

Catatan prestasi suku terakhir tahun lalu itu menjadi kadar KDNK keseluruhan 2016 adalah 4.2 peratus.

“Prestasi ekonomi pada suku keempat 2016 didorong peningkatan berterusan dalam perbelanjaan swasta, manakala dari segi penawaran pula dipacu sektor perkilangan dan perkhidmatan.

“Secara keseluruhan, permintaan dalam negeri berkembang pada kadar lebih sederhana, memandangkan peningkatan aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta melebihi daripada diimbangi kemerosotan dalam perbelanjaan awam,” katanya.

74BOCudYUzizPada suku keempat, penggunaan swasta meningkat 6.2 peratus, disokong pertumbuhan upah dan guna tenaga berterusan.

Pelaburan swasta mencatat peningkatan 4.9 peratus, ekoran perbelanjaan modal berterusan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan.

“Walaupun pertumbuhan pelaburan awam bertambah baik terutama hasil daripada perbelanjaan lebih tinggi untuk aset tetap oleh syarikat awam, namun secara keseluruhan ia terus menguncup pada suku keempat.

“Penggunaan awam juga merosot 4.2 peratus ekoran rasionalisasi perbelanjaan untuk bekalan dan perkhidmatan serta pertumbuhan sederhana bagi perbelanjaan emolumen.

“Bagi sektor luaran, eksport bersih menyumbang secara positif kepada pertumbuhan apabila eksport benar berkembang lebih cepat berbanding import benar,” katanya.

-AA-