Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Cegah kebakaran di Kampung Pandang usaha bersama

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 FEB: Semua pihak perlu memainkan peranan sebagai usaha untuk mencegah kebakaran atau mengurangkan kemusnahan sekiranya berlaku insiden itu di kawasan Kampung Pandan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Samad berkata, hal itu kerana empat kebakaran berlaku kurang dari tempoh 12 bulan.

“Semalam, dua kediaman musnah dijilat api dan mengorbankan nyawa seorang warga emas.Tiga kebakaran lain pula pada Julai dan Ogos tahun lalu.

iskandar01“Jabatan dan agensi yang hadir diingatkan supaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka untuk mengelakkan sebarang kebakaran pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar turut menyarankan penduduk memeriksa sistem pendawaian elektrik di rumah bagi mengelakan usang dan tidak menurut piawaian.

Katanya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) perlu membuat pemantauan yang berterusan dan mengambil tindakan yang tegas jika terdapat pemilik atau penyewa rumah melakukan tambahan tanpa izin.

“Tambahan tanpa izin mengakibatkan kesesakan yang akan menyebabkan bebanan tenaga elektrik meningkat serta mengkibatkan kebakaran.

“MPAJ juga perlu memastikan kegiatan yang dijalankan pennduduk tidak membahayakan orang ramai dan MPAJ perlu proaktif serta tidak hanya menunggu aduan penduduk,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Chempaka.

kebakaran pandanBeliau berkata, pihak polis perlu membantu dan memberi perlindungan kepada MPAJ untuk menjalankan tugas mereka.

“MPAJ perlu sentiasa memastikan pili bomba mempunyai bekalan air yang secukupnya supaya usaha memadamkan api jika berlaku kebakaran tidak terjejas. MPAJ perlu mengkaji kemungkinan longkang lorong yang sempit ditutup supaya laluan masuk dapat dilebarkan.

“Kelebaran lorong di Kampung Pandan tidak lagi sesuai hari ini kerana hampir setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya sebuah kereta,” katanya.

Iskandar turut menyarankan penduduk bertindak proaktif dengan menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

“PBS boleh bertindak pantas jika berlaku sebarang kebakaran dan saya bersedia mengeluarkan peruntukan untuk membantu mereka menubuhkan PBS ini,” katanya.

-NFN-