Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dasar Kerajaan Persekutuan penyebab inflasi meningkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 FEB: Kemampuan berbelanja rakyat terus merosot apabila kadar inflasi mencatatkan pertumbuhan kepada 1.7 peratus pada suku keempat 2016 berbanding 1.3 peratus pada suku ketiga tahun sama.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, peningkatan inflasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan beberapa keputusan diambil kerajaan yang tidak menyebelahi masyarakat.

“Tahun sebelum itu, peningkatan inflasi banyak dipengaruhi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan tahun lepas pula dipengaruhi langkah menaikkan harga bahan api petrol dan diesel apabila ini menunjukkan kenaikan inflasi tidak secara semula jadi tetapi dicetuskan kerajaan sendiri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Jelasnya, selain GST, langkah menaikkan harga minyak petrol dan diesel oleh Kerajaan Persekutuan turut menyebabkan kesan berantai terhadap peningkatan barangan pengguna lain.

Katanya, peningkatan kadar inflasi dianggap bergerak normal jika peningkatan itu dipengaruhi faktor permintaan di pasaran yang semakin tinggi disebabkan kadar upah atau pendapatan rakyat bertambah.

Katanya lagi, peningkatan inflasi ini lebih dirasai apabila kenaikan gaji yang perlahan atau tiada kenaikan langsung seperti yang semakin banyak berlaku dalam sektor swasta.

Katanya lagi, selain gaji mendatar, golongan pekerja terlibat dengan syarikat yang memulakan langkah mengurangkan pekerja merupakan golongan paling terkesan.

=EZY=