Categories
SELANGOR

DUN Subang Jaya bantu waris tunggal mangsa kebakaran

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 FEB: Waris tunggal mangsa kebakaran di USJ 4, Lim Yi Jun memerlukan sokongan semua dalam menghadapi masa sukarnya, kata Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Beliau yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) berkata, kejadian menimpa gadis berusia 21 tahun itu pastinya berat untuk dilalui.

“Pejabat saya sudah memperuntukkan RM5,000 untuk sedikit sebanyak membantu perbelanjaan pengebumian dan saya percaya ramai penduduk USJ juga berhasrat membantu.

“Tolong sama-sama berdoa untuk Yi Jun dan ahli keluarga lain supaya Tuhan memberikan mereka ketenangan dalam menghadapi waktu sukar ini,” katanya di laman Facebook rasminya, semalam.

Hannah turut menyertakan maklumat akaun bank Yi Jun untuk rujukan mereka yang mahu menyumbang.

HANNAH USJ 2Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB dengan nama Lim Yu Jin di nombor akaun bank 7064183075.

Terdahulu, Hannah bersama Jawatankuasa Penduduk 3 (JKP3) berkesempatan melawat dan meluangkan masa bersama Yi Jun.

Pada awal pagi 6 Februari lalu, Lim Ah Kok, 58, isterinya, Goh Bee Khim, 51, dan dua anak lelakinya Lim Yong Leong, 20, serta Lim Yong Wei, 17, maut akibat kesukaran bernafas kerana terhidu asap tebal.

Mayat mangsa dibawa dari Hospital Serdang dan tiba di Pulau Pinang kira-kira jam 6.30 pagi, semalam.

Difahamkan, upacara keagamaan akan diadakan selama tiga hari sebelum upacara pembakaran mayat diadakan, esok.

-AA-