Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

HIS bangunkan modal insan berpengetahuan luas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 FEB: Pegawai Teknikal Halal yang dilatih Halal Antarabangsa Selangor (HIS) mampu mewujudkan peluang perdagangan dalam sektor itu, di samping membuka jalan bagi penubuhan komuniti pasaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Mahmud Abbas berkata, HIS yang dimiliki Aspire Flagship Sdn Bhd kini memulakan salah satu daripada 10 program Skim Kecekapan Teknikal Halal (HTCP) melalui program pembangunan modal insan.

Katanya, HIS komited membangunkan modal insan yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan berkenaan Halalan Toyyiban untuk memastikan prosedurnya dapat direalisasikan dalam perniagaan serta industri.

“Satu bengkel akan dimulakan bagi projek itu dalam menyediakan kumpulan pakar sebagai jurulatih HTCP selain menjalankan program tiga hari Train The Trainer (TTT).

“Program TTT akan menyediakan dan melengkapkan peserta dengan pengetahuan asas serta keperluan terhadap industri halal,” katanya ketika perasmian program berkenaan, di sini, baru-baru ini.

Launching TTT @ HTCP 14.2 (1)Hadir sama, Exco Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Pada masa sama, Mahmud turut yakin TTT bakal menambah nilai kepada tenaga pengajar, sekali gus dapat disampaikan kepada pengiat Halal dalam dan luar negara.

“Kami juga yakin HIS dapat menyediakan satu lagi landasan bagi industri perdagangan halal di Malaysia, khususnya dalam bidang hartanah, jaminan penghantaran, rantaian pengedaran, pembangunan pasaran dan kapasiti,” katanya.

Sebelum ini, HIS dan CSSB memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan universiti United Kingdom, China, Korea Selatan dan Taiwan membabitkan kerjasama dalam HTCP.

HTCP adalah skim latihan jaminan halal bagi memperluaskan akses kepada pasaran berkenaan.

-AA-