Categories
EKONOMI

Eksport Malaysia ke Asia Selatan melonjak kepada RM45.39 bilion

SHAH ALAM 9 FEB : Eksport Malaysia Ke Asia Selatan tumbuh 6.9 peratus kepada RM45.39 bilion tahun lepas berbanding kemerosotan 0.9 peratus pada 2015, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Eksport ke India meningkat 1.1 peratus kepada RM32 bilion, iaitu 70.5 peratus eksport Malaysia ke Asia Selatan, lapor BERNAMA.

Jumlah perdagangan dengan negara Asia Selatan berkembang 7.4 peratus kepada RM63.8 bilion pada 2016, dengan import naik 8.6 peratus kepada RM18.4 bilion.

Barangan pembuatan merupakan 54.4 peratus eksport Malaysia ke India dan meningkat 8 peratus dalam nilai kepada RM17.43 bilion.

Bangladesh mengatasi Pakistan sebagai destinasi eksport kedua terbesar Malaysia ke rantau berkenaan dengan eksport ke negara itu meningkat 32.2 peratus kepada RM5.15 bilion pada 2016 berbanding RM3.9 bilion pada 2015.

Eksport yang lebih tinggi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit meningkatkan perdagangan dengan Pakistan, yang mengimport RM4.86 bilion barangan Malaysia, iaitu kenaikan 17.8 peratus.

Eksport ke Sri Lanka melonjak 28.6 peratus kepada RM2.42 bilion berikutan lonjakan besar dalam jualan produk petroleum.

Matrade berkata, Malaysia menyaksikan kenaikan besar dalam dagangan dengan rakan kongsi perjanjian perdagangan bebas baharu, terutama Turki, India dan Pakistan.

=EZY=