Categories
EKONOMI

Eksport negara Disember 2016 meningkat

SHAH ALAM 8 FEB: Eksport Malaysia pada Disember 2016 mencatat peningkatan luar jangkaan iaitu pada 10.7 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Keadaan itu didorong pertambahan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) serta minyak sawit dan produk berasaskan sawit.

Jabatan Statistik dalam kenyataan media berkata, dalam perbandingan dengan bulan sebelumnya, eksport negara meningkat RM2.7 bilion, atau 3.7 peratus daripada RM72.8 bilion.

Ia berkata, eksport pada bulan terakhir 2016 itu dipacu oleh produk E&E, yang meningkat sembilan peratus kepada RM27 bilion.

Ia diikuti oleh produk petroleum bertapis, yang menyumbang 6.5 peratus daripada jumlah eksport, yang mana berkembang RM2 bilion atau 71.9 peratus kepada RM4.9 bilion.

Sementara itu, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan RM87.27 bilion pada 2016, lebihan ke-19 tahun berturut-turut sejak 1998, meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang  mencabar.

Jumlah perdagangan negara pada tahun lalu, secara keseluruhannya, meningkat 1.5 peratus kepada RM1.485 trilion berbanding RM1.463 trilion berbanding tahun 2015.

=EZY=