Categories
PBT SELANGOR

MDHS tegas tangani papan iklan haram

HULU SELANGOR 8 FEB: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bertindak tegas dengan merobohkan papan iklan yang dibina tanpa kebenaran di dalam Daerah Hulu Selangor.

Pegawai Komunikasi Korporat MDHS, Junainah Abdullah berkata, operasi perobohan yang dijalankan bermula 6 Februari lalu diketuai oleh Jabatan Bangunan MDHS turut mendapat kerjasama pihak PDRM dan PLUS.

Katanya tindakan perobohan papan iklan luar (billboard) tanpa kebenaran itu berdasarkan Seksyen 70 (1) Akta 133 Akta Jalan, Parit Dan Bangunan yang menyatakan “tiada seseorang boleh mendirikan sesuatu bangunan tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan”.

Selain itu tindakan juga boleh diambil dibawah Sekyen 19 (1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 , Akta 172 yang melarang apa apa pemajuan dijalankan tanpa kebenaran merancang.

“Kegagalan mematuhi kehendak akta ini membolehkan pemilik dikenakan tindakan di bawah Seksyen 27 akta yang sama,” katanya dalam kenyataan media.

Terdahulu , MDHS mengeluarkan notis kepada semua pemilik papan iklan untuk tampil bagi mengemukakan permohonan.

Beliau berkata hasil siasatan dan pemantauan MDHS mendapati terdapat lebih 224 papan iklan luar yang dibina di daerah ini dan hanya lapan daripadanya mengemukakan permohonan kepada MDHS.

Operasi fasa pertama ini melibatkan 52 papan iklan dan dijangkan selesai dalam tempoh dua bulan.

“Dinasihatkan pemilik papan iklan luar mengemukakan permohonan kebenaran merancang dan permohonan pelan struktur bagi mengelakkan dikenakan tindakan di bawah undang–undang yang diterima pakai MDHS,” katanya.

=EZY=