Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Guan Eng: Tiada persetujuan Pulau Pinang jadi Wilayah Persekutuan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 FEB: Kerajaan Pulau Pinang menafikan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adenan Tengku Mansor kononnya menyokong usaha menjadikan negeri itu di bawah bidang kuasa Wilayah Persekutuan.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng sebaliknya menyifatkan cadangan Menteri Umno itu sebagai tidak masuk akal dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang dikatakan (Ku Nan) itu dibuat tanpa sebarang rundingan dan mengancam perpaduan serta Persekutuan Malaysia.

mahkamah-syariah-pinang-guan-eng“Ini boleh dianggap sebagai hasutan. Sebab anda mengancam perpaduan Persekutuan Malaysia.

“Saya terkejut dengan kenyataan bahawa kita akan gembira (jika serah negeri jadi Wilayah Persekutuan). Bagaimana kita boleh gembira, runding pun tidak?” katanya dalam sidang medianya, semalam.

Guan Eng berkata, cadangan Ku Nan itu jelas mempunyai helah tertentu dan dianggap sebagai idea tidak munasabah kerana mengancam intergriti dan hak rakyat Pulau Pinang.

“Ku Nan seperti seorang penakluk. Menakluk wilayah untuk menambah empayarnya iaitu Wilayah Persekutuan. Ini satu tipu helah. Saya tidak boleh ‘jual’ Pulau Pinang,” tegasnya.

Idea bagi menjadikan Pulau Pinang di bawah pentabdiran Wilayah Persekutuan itu dibuat Tengku Adenan sempena sambutan Hari Wilayah, pada 1 Februari lalu.

Selain Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian Melaka juga didakwa diletakkan di bawah cadangan itu.

-NFN-