Categories
EKONOMI

Harga minyak sawit mentah naik ekoran El Nino

KUALA LUMPUR 12 FEB: Kebimbangan para peniaga terhadap fenomena El Nino menyebabkan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) berada dalam aliran yang positif minggu ini.

Para peniaga bimbang El Nino mengurangkan inventori komoditi pada masa akan datang.

Pasaran ditutup pada hari Khamis bagi cuti Thaipusam. Data dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Jumaat menyatakan jumlah stok minyak sawit negara pada Januari 2017 berkurangan 7.55 peratus kepada 1.54 juta tan berbanding 1.67 juta tan pada bulan Disember tahun lepas.

Selain jangkaan inventori lebih rendah, komoditi itu juga menerima kesan akibat kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS, ini melonjakkan harga MSM.

Bagaimanapun, prestasi positif ini dihadkan aktiviti pengambilan untung pada hari Jumaat memandangkan data MPOB ke atas stok dan eksport MSM dikatakan berada di bawah sedikit daripada jangkaan pasaran.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh, berkata aktiviti pengambilan untung mungkin berterusan hingga minggu depan, dengan komoditi itu dijangka didagangkan antara RM3,100 dan RM3,150 satu tan metrik.

“Paras harga semasa sedang berada dalam tahap baik untuk penanam, di mana sebahagian daripada mereka mendapat hampir 100 peratus keuntungan daripadanya.

“Jadi, tidak mustahil kalau kita melihat aktiviti-aktiviti pengambilan untung akan mendominasi pasaran minggu depan,” katanya lapor BERNAMA.

Dari Jumaat ke Jumaat, Februari 2017 naik sebanyak RM18 kepada RM3,268 satu tan, Mac 2017 dan April 2017, masing-masing menokok RM16 kepada RM3,156 dan RM3, 071, manakala Mei 2017 meningkat sebanyak RM14 kepada RM2,996 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 195,595 lot daripada 148,105 lot pada minggu lepas, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 251,610 kontrak daripada 238,017 kontrak.

Di pasaran fizikal, Februari Selatan adalah RM30 lebih tinggi pada RM3,350 satu tan.

=EZY=