Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Individu serang Khalid Samad didakwa esok

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Seramai lapan individu termasuk seorang anak timbalan menteri yang menyerang Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, mereka terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita berumur antara 33 hingga 55 tahun.

Katanya, kertas siasatan terhadap semua individu terbabit sudah siap dan mereka dituduh mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

“Kesemua yang akan didakwa itu adalah antara lebih 10 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pada 24 November lalu, Khalid diserang perusuh ketika menghampiri bangunan utama Parlimen sekitar jam 11 pagi.

khalid_samad_diserang_parlimenKira-kira 20 hingga 30 lelaki pada mulanya menjerit dan melakukan provokasi terhadap Khalid, namun keadaan bertukar ganas selepas seorang daripada mereka jatuh di depan beberapa pegawai keselamatan.

Kumpulan rusuhan itu terus mengejar Khalid tetapi pegawai keselamatan dapat melindunginya daripada sebarang kejadian tidak diingini.

Kejadian dipercayai berlaku susulan tindakan Khalid memanggil Timbalan Menteri Petanian, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dengan perkataan tertentu dalam sidang Dewan Rakyat, beberapa hari sebelum itu.

Khalid bertindak demikian selepas Tajuddin merujuk Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai ‘satu-satunya wanita dengan kok’.

-AA-