Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

JAKESS perkenal ‘Polisi Tiada Hadiah’ elak rasuah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 FEB: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) melancarkan ‘Polisi Tiada Hadiah’ sebagai usaha mengelakkan gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam dan jabatan.

Majlis perasmian disempurnakan Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Shah Alam, hari ini.

Ahmad Yunus berkata, polisi itu bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri melahirkan pentadbiran dan kepimpinan baik berasaskan konsep amar ma’ruf nahi mungkar.

“Kita bimbang sebarang bentuk pemberian ini menjadi bibit integrasi yang boleh dipertikaikan dan soal rasuah akan mula bertunas.

“Walaupun kebiasannya masyarakat memberikan hadiah terhadap sesuatu permohonan, kita khuatir bibit ini akhirnya akan menjadi permintaan juga barah rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Himpunan Penjawat Awam Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor.

CP2A0782-800x533Menerusi polisi itu, warga kerja JAKESS tidak boleh menerima atau memberi hadiah berbentuk peribadi daripada atau kepada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan atau berkaitan tugas rasmi jabatan terbabit.

Dasar itu selaras Peraturan 8(1)(a) dan (b), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 Para 12, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 3 Tahun 1998.

Ia turut membabitkan peraturan Seksyen 165, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 3, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

-AA-