Categories
SELANGOR

Jejak Warisan Klang pamer sejarah Bandar Diraja

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 FEB: Usaha memperkenalkan Klang sebagai Bandar Diraja yang sarat dengan peninggalan sejarah dipergiatkan menerusi program Jejak Warisan Klang bagi tatapan generasi akan datang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, sebanyak 12 lokasi dipilih antaranya Gedung Raja Abdullah, Kota Raja Mahadi, Jambatan Kota, Jalan Tengku Kelana, Masjid Diraja Sultan Suleiman, Istana Alam Shah, Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Stesen Keretapi Klang dan Balai Bomba Klang Selatan.

Katanya, ia juga dapat menjadi daya penarik sempena Tahun Melawat Klang 2017 yang bakal dilancarkan, pada 28 Februari ini.

“Semua bangunan tinggalan sejarah itu mempunyai nilai estetika tersendiri dan bakal menjadi tarikan terbaru bagi pelancong asing, seterusnya menerokai keindahan bangunan peninggalan sejarah di sini,” katanya.

Yasid berkata, selain Jejak Warisan, pelbagai program diatur sepanjang tahun ini bagi memberi informasi dan pengalaman menarik kepada pelancong yang berkunjung ke sini.

Pada masa sama, katanya, Jambatan Kota Klang yang dibina pada 1957 oleh Syarikat British Dorman Long Bridge and Engineering Ltd kini berubah wajah dengan kerja pengindahan termasuk lukisan mural di dinding.

“Ia juga kini menjadi lokasi penggambaran filem dan tempat bergambar untuk pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan,” katanya.

-AA-