Categories
KENYATAAN MEDIA

MAC 2017- Bulan Daftar Mengundi

Hari ini, BERSIH 2.0 melancarkan kempen daftar pengundi yang akan berlangsung sepanjang bulan Mac 2017.

“Kempen U” menyasarkan lebih kurang empat juta rakyat Malaysia yang masih belum berdaftar dan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan untuk mengundi.

Dilambangi oleh huruf “U” yang mewakili “UNDI” (juga mewakili “you”/anda), kempen daftar pengundi BERSIH 2.0 akan mengembalikan kuasa ke dalam tangan rakyat Malaysia dan menguatkan falsafah BERSIH sebagai satu pergerakan rakyat.

Petak kosong mempelawa orang ramai untuk berkongsi dengan kami matlamat undian mereka, dan menekankan kepentingan untuk mendaftar. Ini juga berfungsi untuk mengaitkan aspirasi pendaftar dengan wakil rakyat mengenai perubahan yang diidamkan oleh rakyat Malaysia demi tanahair kita.

IMG_20170221_115944-800x570Dengan memperkenalkan rekabentuk yang anggun dan satu aspek yang lebih berinteraktif, kami berharap ia akan menarik perhatian generasi muda di samping menunjukkan iltizam kami untuk merapatkan jurang di antara bandar dan desa.

Kempen ini merangkumi beberapa aktiviti lapangan seperti di pejabat-pejabat pos dan acara lain di seluruh Malaysia mulai Sabtu ini, 25 Februari 2017.

BERSIH 2.0 memilih bulan Mac untuk melangsungkan kempen ini kerana ia merupakan hujung suku tahun ini di mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mula memproses pendaftaran tersebut.

Setiap pendaftaran baru akan memakan masa hampir enam bulan untuk memproses dan pewartaan. Oleh itu 31 Mac 2017 merupakan hari yang terakhir untuk rakyat Malaysia untuk mendaftar sekiranya pilihan raya umum diadakan pada bulan September 2017.

Walaupun pendaftaran pengundian adalah tanggungjawab SPR namun mereka merumit dan menyusahkan proses mendaftar pengundi dan mengabaikan cadangan BERSIH untuk melakukan pendaftaran pengundi secara automatik.

Memandangkan pengundian memainkan peranan yang penting dalam proses demokratik, BERSIH 2.0 terpaksa melangkah masuk dan mengerakkan “Kempen U” ini.

Objektif utama kempen ini adalah untuk menggalakkan dan mengkerahkan rakyat Malaysia untuk mendaftar sendiri di pejabat pos.

Cuma mereka yang berdaftar sebelum 31 Mac 2017 boleh mengundi menjelang PRU14 (sekiranya ia diadakan pada September 2017), oleh itu ia adalah mustahak untuk mereka yang belum berdaftar untuk mendaftar secepat mungkin di pejabat pos terdekat.

Bagi yang sudah berdaftar, mereka boleh membawa ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan yang layak mengundi untuk berdaftar di pejabat pos.

Jika SPR bersungguh-sungguh ingin memenuhi tugasnya, kami mengalu-alukan mereka untuk bekerjasama dengan BERSIH 2.0 dalam usaha kami untuk mendorong pendaftaran pengundi.

Mengundi adalah salah satu hak paling berkuasa bagi rakyat dalam sistem berdemokrasi. Malahan, ia adalah pendekatan paling terus yang boleh membawa perubahan dan memastikan suaramu tidak diabaikan.

BERSIH 2.0 menyaran semua warga Malaysia agar tidak meringan-ringankan tanggungjawab berdemokratik ini. Ambil langkah pertama dan daftar sebagai pengundi hari ini.

Ditandatangani oleh ahli-ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0