Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN ajak rakyat bersolidariti bersama Anwar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 FEB: KEADILAN mempelawa rakyat hadir ke program Rumah Terbuka Muhibbah yang akan berlangsung di hadapan Penjara Sungai Buloh, malam ini sebagai tanda solidariti bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang Umno dan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Anwar yang juga Ketua Umum parti itu rela dipenjarakan demi menentang rasuah dan penyelewengan serta membawa reformasi untuk kesejahteraan rakyat.

“Ketika muda, beliau ditahan di bawah ISA kerana memperjuangkan nasib golongan petani miskin di Baling, manakala pada 1999, beliau difitnah kerana tidak tunduk kepada amalan rasuah dan penyelewengan pemerintah sewaktu itu.

“Beliau sekali lagi difitnah dan dipenjarakan, pada 2015 kerana menentang penyelewengan golongan kleptokrat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, masyarakat dunia turut mengecam tindakan golongan kleptokrat memenjarakan Anwar yang menyifatkannya sebagai tidak sah daripada sudut undang-undang, di samping menuntut pembebasan serta-merta.

Saifuddin NasutionSaifuddin berkata, pendirian sama turut disuarakan Inter-Parliamentary Union, pada 2016 yang menggesa supaya Anwar segera dibebaskan.

“Pemenjaraan Anwar berniat mematahkan semangat beliau dan rakyat dalam perjuangan reformasi untuk menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrat, perasuah dan perosak institusi demokrasi di negara ini.

“Namun, semangat Anwar terus kukuh, bahkan beliau jelas berjiwa besar. Justeru, kita harus istiqamah dalam membawa agenda reformasi dan perubahan ini.

“Pastikan semangat reformasi tidak luntur dari sanubari kita (kerana) Malaysia sedang menghadapi cabaran getir terutama dari sudut ekonomi yang akan menentukan hala tuju negara,” katanya.

-AA-