Categories
NASIONAL

Kematian Balamurugan: Charles gesa polis terlibat disiasat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 FEB: Pegawai polis yang menyebabkan kematian tahanan S Balamurugan, 44, perlu disiasat dan tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, hal itu kerana bedah siasat kedua mengesahkan mangsa mengalami pelbagai pukulan.

Katanya, badan siasatan bebas perlu ditubuhkan bagi menyiasat ‘amalan’ yang sering berlaku itu.

“Keputusan bedah siasat kedua dijalankan ahli patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan Balamurugan mengalami beberapa kecederaan di dada, kepala, kaki dan belakang menyebabkan kegagalan jantung.

“Pukulan itu tidak masuk akal dan laporan pakar patologi cukup untuk menahan pegawai polis terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Charles berkata, mereka yang terbabit perlu didakwa di mahkamah bebas dan mempunyai legitimasi serta tidak dimanipulasi orang berkepentingan.

“Polis tidak seharusnya menyalahgunakan kuasa dan tidak mempunyai hak untuk mendera tahanan. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) melaporkan 721 banduan dilaporkan mati dalam tahanan, pada 2013 hingga April 2016.

Charles-Santiago-L“Ia dengan purata 18 kematian bagi setiap bulan, namun polis terus memperlihatkan kuasa berlebihan semasa penyiasatan dengan sewenang-wenangnya dan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Semalam, Peguam keluarga mangsa, Lathefa Koya dan N Surendran mendesak penahanan segera dan pendakwaan terhadap semua anggota polis terbabit dalam serangan Balamurugan hingga menyebabkan kematiannya.

Balamurugan meninggal dunia dalam tahanan polis, pada 8 Februari di balai polis Klang Utara dan menurut laporan berita, mangsa ditemui dalam keadaan mukanya lebam dan berdarah.

Bedah siasat pertama dijalankan di Hospital Klang menunjukkan dia meninggal dunia kerana “masalah jantung” dan keluarganya kemudian memfailkan permohonan bedah siasat kedua dilakukan. Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan itu.

Dilaporkan, kira-kira 10 anggota polis ibu pejabat Klang Utara sedang disiasat berhubung kematian Balamurugan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan turut menyiasat kes itu.

-AA-