Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kolam takungan Pekan Banting Fasa 1 inisiatif tangani banjir

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LANGAT, 4 FEB: Pembinaan kolam takungan Pekan Banting Fasa 1 diyakini mampu menangani masalah banjir setempat meliputi enam perumahan sekitar penempatan Pekan Banting.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali optimis usaha tersebut mampu mengatasi masalah banjir setempat yang berlaku ekoran faktor taburan tinggi hujan.

“Kolam takungan Banting ini dibina bertujuan mengatasi masalah banjir di Pekan Banting yang kerap berlaku apabila waktu hujan lebat.

“Melalui Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran, mereka mengambil inisiatif menerusi peruntukan disalurkan Kerajaan sebelum ini untuk membangunkan projek ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, projek menelan belanja RM6.8 juta itu boleh menampung kolam takungan banjir seluas 3.75 ekar dengan kelengkapan mekanikal pam banjir.

Ia juga turut menggunakan teknologi ‘tidal control gate’ untuk mengawal limpahan air serta pembinaan dan pembaikan parit berhampiran kawasan tapak projek untuk mengukuhkan benteng sungai.

Bahkan, pembinaan projek itu sekali gus boleh menampung isi padu air hujan serta membantu pembangunan masyarakat bagi tujuan aktiviti sosial dan ekonomi penduduk tempatan.

“Saya yakin ia memberi manfaat baik kepada penduduk,” kata Mohamed Azmin semalam.

Terdahulu, Mohamed Azmin turun padang meninjau perkembangan projek berkenaan di Tapak Projek, Mukim Tanjung 12 yang dijangka siap sepenuhnya Ogos ini.

Hadir sama, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali.

=EZY=