Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA anggar RM132 juta hasil cukai taksiran penggal pertama 2017

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganggarkan RM132 juta bakal dikutip menerusi hasil cukai taksiran semasa bagi penggal pertama tahun ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, ia merangkumi 244,264 pegangan harta di seluruh kawasan pentadbiran MBSA.

Katanya, pemegang harta diingatkan untuk menjelaskan cukai taksiran sebelum atau pada 28 Februari ini bagi mengelakkan tindakan tegas.

MBSA03“Hasil cukai taksiran ini penting untuk menguruskan kutipan sampah domestik, pembersihan kawasan dan menyelenggara infrastruktur awam seperti jalan, lampu jalan, longkang serta membina lebih banyak taman awam juga taman permainan.

“Ia juga membantu MBSA menguruskan bandar raya Shah Alam dengan lebih cekap dan efisien, sekali gus memberi keselesaan, kesejahteraan serta keharmonian hidup masyarakat,” katanya.

Sebanyak 44 saluran pembayaran disediakan bagi memudahkan pemegang harta antaranya di kaunter utama, Wisma MBSA dan pejabat cawangan MBSA di Kota Kemuning, Sungai Buloh dan Setia Alam.

Shahrin berkata, pemegang harta juga boleh menjelaskan bil cukai taksiran di semua kaunter pihak berkuasa tempatan Selangor secara tunai.

“Mereka juga boleh menjelaskan bil cukai taksiran di pusat agensi setempat seperti pejabat pos di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Ia juga boleh dilakukan di semua cawangan Bank Simpanan Nasional, Ambank dan Bank Muamalat (secara tunai sahaja), manakala pembayaran di Agro Bank, Affin Bank, Bank Islam dan EON Bank boleh dijelaskan secara tunai atau cek,” katanya.

MBSA PAYUNG (2)Saluran lain termasuk pembayaran menggunakan cek, wang pos, kad kredit dan ‘charge card’ seperti Master, Visa, American Express dan Dinners Club.

Bayaran dalam talian boleh dilaksanakan di www.mbsa.gov.my, www.maybank2u.com, www.payonline.com.my, www.mbfcards.com, www.citibank.com, www.ambg.com.my, www.rhbbank.com.my, www.bizchannel.com.my, www.hsbc.com.my, www.cimbclicks.com.my, eonbank.com.my, www.phebank.com.my dan www.i-muamalat.com.my

Terbaru, pembayaran boleh dilakukan menerusi JomPAY dengan memasukkan biller code: 7567, nombor akaun baru pada Ref-1 dan nombor telefon pada Ref-2 seterusnya jumlah bayaran.

Pembayar cukai yang menjelaskan cukai taksiran untuk tempoh setahun dan jumlah melebihi RM100 serta tidak mempunyai tunggakan layak menerima payung percuma.

Sebarang pertanyaan berhubung cukai taksiran sila hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA, di talian terus 03-5522 2881/2882.

-NFN-