Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Program turun padang PAKATAN berjaya dampingi rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Program turun padang dipraktikkan Ahli Dewan Negeri (ADN) dan Ahli Parlimen PAKATAN di kawasan diwakili memberi impak positif dalam kalangan rakyat hingga menyedarkan Umno-Barisan Nasional (BN) bagi melaksana pendekatan sama.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, PAKATAN selaku barisan alternatif dianggotai beberapa parti pembangkang berjaya menampilkan kelebihan itu dalam menjaga kepentingan rakyat apabila kerap bersama dalam program turun padang.

“Saya tidak tahu siapa dimaksudkan (wakil rakyat jarang turun padang) tetapi wakil rakyat PAKATAN, kita bila mula menang dari satu pilihan raya ke pilihan raya memang selalu turun padang.

“Maka, saya rasa tidak relevan bagi kami kerana selalu melakukannya tetapi budaya tidak turun padang adalah daripada Umno-BN,” katanya kepada media di sini, semalam.

zuraida-kamaruddinBeliau yang juga Ketua Wanita KEADILAN berkata, pendekatan seperti itu sering dikaitkan dengan pemimpin Umno-BN kerana apabila berlaku musim pilihan raya umum (PRU), ramai dalam kalangan mereka turun padang tetapi kelibat sama hanya mungkin kerap dilihat kembali dalam PRU seterusnya.

Katanya, dengan kejayaan PAKATAN menafikan majoriti Umno-BN, maka budaya seperti itu mula berubah dengan mereka kini kerap turun mendampingi rakyat.

“Mereka belajar dengan kami dan dilihat berubah tetapi tidak dapat menyamai cara wakil rakyat PAKATAN,” katanya.

Berhubung Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang sering menimbulkan pelbagai isu di Ampang, Zuraida berkata, pihaknya tidak faham akan perkara itu tetapi mungkin disebabkan kejayaan PAKATAN melalui Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan dirinya mengukuhkan kedudukan, di sini.

“Dulu, Ampang kubu kuat Umno. Untuk menjadi menteri, datang ke Ampang bertanding, menang dapat jadi menteri tetapi selepas 2008 kita berjaya tembusi kubu mereka dan mengukuhkan kedudukan.

“Jika di Ampang berjaya dan dalam PRU-14 kita berjaya, mungkin kosong Uumno di Selangor ini,” katanya.

Katanya, pelbagai isu dicetuskan Jamal di kawasan itu juga diyakini menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat.

“Sudah tentu dia (Jamal) tidak sesuai. Rakyat di Ampang memang tidak suka orang sebegini,” katanya seandainya Umno-BN merancang meletakkan Jamal bertanding di kawasan berkenaan.

-NFN-