Categories
EKONOMI NASIONAL

Pastikan pelabur Proton punyai visi hadapi saingan global

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 FEB: Kerajaan Persekutuan dan Proton perlu mengorak langkah berani bagi memastikan pelabur baru syarikat pengeluar kereta nasional itu mempunyai visi dan kemampuan agi memastikan ia berdaya saing di peringkat global.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, Proton perlu berdikari selepas 34 tahun penubuhannya dengan tidak berharap dasar perlindungan bagi memastikan kelangsungannya.

Antaranya seperti langkah mengenakan cukai eksais tinggi kepada pengeluar kereta import bagi membolehkan Proton dijual pada harga lebih murah.

“Kalau berdasarkan daya maju perniagaan, Proton tak boleh ‘survive’ berhadapan pertandingan dengan syarikat kereta seluruh dunia walaupun diwujudkan di atas dasar perlindungan.

“Proton tak jadi dewasa, Proton terus bergantung dasar perlindungan kerajaan kerana dia tak mampu bertanding dengan pesaing automobil antarabangsa,” kata Rosli ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

dr_rosli_yaakob_Jelasnya, Kerajaan Persekutuan tidak boleh terus melindungi Proton dan perlu membawa masuk pelabur asing bagi memastikan kelangsungan Proton atau berhadapan risiko terpaksa hentikan operasi.

Katanya, langkah membawa pelabur asing masuk ke dalam Proton juga mampu mengurangkan bebanan kewangan ditanggung kerajaan.

“Maka ini menyelamatkan rakyat daripada terus menanggung kos Proton sepanjang masa sampai bila-bila di mana ini tak boleh berlaku lagi.

“Jangan kita hanya lihat disegi politiknya tetapi kelangsungan perniagaan dan kesan kepada orang ramai yang menanggungnya. Dengan pasaran besar di China maka Proton diharap mampu berdaya saing,” katanya.

=EZY=