Categories
SELANGOR

Sambutan Tahun Baru Cina DUN Sri Muda meriah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 FEB: Lebih 1,000 penduduk pelbagai kaum hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2017 anjuran DUN Sri Muda di Tasik Kota Kemuning, Seksyen 31, di sini.

Suasana dimeriahkan dengan paluan gendang tradisional dan orkestra selain penyerahan ‘angpow’ kepada kanak-kanak, yang menjadi tradisi perayaan berkenaan.

Ahli Dewan Negerinya, Shuhaimi Shafiei berkata, perayaan tahun ayam itu masih meriah dan penuh keterujaan walaupun sudah memasuki hari terakhir sambutan.

“Walaupun diadakan secara sederhana tetapi pelbagai bangsa hadir memeriahkan sambutan, inilah Selangor.

“Diharap dengan jamuan sempena sambutan perayaan rakyat berketurunan Tionghua ini dapat membuka ruang luas untuk kita memupuk nilai keprihatinan, saling menghormati dan menyayangi serta berkongsi kegembiraan,” katanya ketika majlis itu di Tasik Kota Kemuning, Seksyen 31, di sini.

image (3)Sambutan itu dirasmikan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dan ADN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar.

Pada masa sama, Shuhaimi berkata, RM284 juta diperuntukan khusus bagi pembangunan DUN beliau dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

“Peruntukan ini mulai tahun 2006 hingga 2020 yang khusus kepada semua kaum termasuk menaik taraf lampu isyarat, jalan raya dan pembinaan masjid serta sekolah,” katanya yang juga Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar.

-AA-