Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN YB ACTIVITIES

240 golongan ibu terima kad KISS di DUN Sri Muda

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 11 FEB: Seramai 240 golongan ibu yang berkelayakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda menerima kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), hari ini.

Ahli Dewan Negerinya, Shuhaimi Shafiei berkata, ia adalah pemberian peringkat pertama di kawasan berkenaan.

“Diharap penerima dapat menggunakan kemudahan kad ini sepenuhnya bagi manfaat seluruh ahli keluarga.

“Semoga pemberian bantuan kad ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh golongan ibu dan suri rumah di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kad KISS di Dewan Cendana, di sini.

Shuhaimi berkata, sebelum ini pihaknya telah menghantar 500 permohonan untuk ditandatangani namun sempat dikeluarkan sebanyak 240 sahaja.

“Oleh itu, bagi pemberian kad peringkat kedua, saya menjangkakan program pemberiannya akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, penerima kad KISS, P. Tanggam, 55 dari Alam Megah yang juga suri rumah berkata, kad itu akan digunakan bagi tujuan membeli barang keperluan asas dapur.

“Saya bersyukur dan gembira dengan pemberian kad ini kerana ia dapat mengurangkan beban kewangan kami sekeluarga.

“Ia kerana, saya sering menghadapi masalah untuk membeli barang keperluan akibat tidak mempunyai wang yang mencukupi,” katanya.

Bagi Salmah Ahmad, 50, yang mempunyai tujuh anak mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas bantuan diberikan.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana kad KISS ini dapat membantu keluarga saya untuk membeli barang keperluan dapur,” katanya.

Seorang lagi penerima, Tan Siew Tin, 55, berkata pemberian kad KISS dapat membantu dirinya dan keluarga membeli barang-barang untuk keperluan rumah.

“Terima kasih Selangor kerana membantu kami. Saya harap kad ini boleh digunakan untuk membeli barang bagi sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif KISS bertujuan mengangkat martabat golongan wanita di bawah peruntukan RM72 juta.

Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri mengiktiraf setiap ibu yang layak untuk menerima bantuan sebanyak RM2,400 setahun, atau RM200 setiap bulan.

Peserta KISS akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di lebih 500 pasaraya dan kedai runcit berdaftar.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Sambutan Tahun Baru Cina DUN Sri Muda meriah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 FEB: Lebih 1,000 penduduk pelbagai kaum hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2017 anjuran DUN Sri Muda di Tasik Kota Kemuning, Seksyen 31, di sini.

Suasana dimeriahkan dengan paluan gendang tradisional dan orkestra selain penyerahan ‘angpow’ kepada kanak-kanak, yang menjadi tradisi perayaan berkenaan.

Ahli Dewan Negerinya, Shuhaimi Shafiei berkata, perayaan tahun ayam itu masih meriah dan penuh keterujaan walaupun sudah memasuki hari terakhir sambutan.

“Walaupun diadakan secara sederhana tetapi pelbagai bangsa hadir memeriahkan sambutan, inilah Selangor.

“Diharap dengan jamuan sempena sambutan perayaan rakyat berketurunan Tionghua ini dapat membuka ruang luas untuk kita memupuk nilai keprihatinan, saling menghormati dan menyayangi serta berkongsi kegembiraan,” katanya ketika majlis itu di Tasik Kota Kemuning, Seksyen 31, di sini.

image (3)Sambutan itu dirasmikan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dan ADN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar.

Pada masa sama, Shuhaimi berkata, RM284 juta diperuntukan khusus bagi pembangunan DUN beliau dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

“Peruntukan ini mulai tahun 2006 hingga 2020 yang khusus kepada semua kaum termasuk menaik taraf lampu isyarat, jalan raya dan pembinaan masjid serta sekolah,” katanya yang juga Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar.

-AA-

Categories
SELANGOR

Lapan masjid dipohon penuhi keperluan DUN Sri Muda

OLEH : HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 JUN: Pembinaan lapan buah masjid di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda sudah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, berkata permohonan itu dibuat bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan itu selain menambahbaik masjid sedia ada.

“Polisi Kerajaan Negeri ialah bagi pembinaan masjid di setiap daerah satu kawasan.

Shuhaimi Ihya“Oleh kerana Klang dan Petaling adalah daerah mempunyai kepadatan penduduk tinggi maka untuk mendapatkan masjid kita terpaksa menunggu dahulu,” katanya dalam majlis Sumbangan Ihya Ramadan di Nasjid An-Naim, Kampung Jalan Kebun, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Bagaimanapun, beliau berkata, beberap masjid dipohon sebelumnya sejak 2008 ada yang sudah siap terbina manakala selebihnya dalam proses pembinaan.

Katanya, antaranya ialah masjid di Taman Sri Muda disiapkan pada 2013 dengan nilai RM7 juta serta satu lagi di Kampung Johan Setia tahun lalu.

“Pada tahun ini masjid di Kota Kemuning akan mula dibina di mana kita peruntukkan RM1 juta untuk pecah tanah dengan kos keseluruhan RM10 juta.
“Dalam masa sama terdapat masjid dalam kariah Kampung Jalan Kebun di mana pembinaannya mencecah hampir 80 peratus dengan kos lebih kurang sama,” katanya.

Mengulas lanjut, Shuhaimi berkata, bagi memenuhi keperluan penduduk, pihaknya juga membuat permohonan menaik taraf surau bagi membolehkan solat Jumaat dijalankan di situ.

“Untuk DUN Sri Muda, kita memohon 11 buah surau untuk dinaik taraf menjadi surau solat Jumaat,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Sri Muda rai 56 pemimpin, kenang jasa tujuh tahun

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 FEB: Seramai 56 pemimpin DUN Sri Muda diraikan dalam Majlis Penghargaan dan Terima Kasih sesi 2008-2015.

Majlis Penghargaan itu membabitkan Ahli Majlis, Ketua Kampung, Pengerusi Pengerak Belia Tempatan (Pebt) dan Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB).

Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafei, berkata warga Sri Muda terhutang budi terhadap jasa bakti pemimpin yang dirai dalam menyemai bakti kepada penduduk sekitar.

12733983_959888774101015_1808993251513556105_n“Tanpa sokongan dan usaha mereka sudah tentu sukar dilaksanakan lebih lagi DUN Sri Muda di bawah tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Percandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Tujuh tahun kejayaan di DUN Sri Muda dibantu oleh pemimpin ini, begitu juga dengan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya pada majlis yang berlangsung di Dewan N’Dah, di sini.

Hadir sama Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud.

“Hari ini adalah khusus untuk menghargai jasa mereka yang mencurah bakti kepada pembangunan serta warga Sri Muda tanpa berbelah-bahagi selama ini.

Beliau berkata, pemimpin dan pegawai kerajaan silih berganti menabur bakti, namun penduduk di sini masih mampu bertahan mengekalkan sifat positif termasuk memberi kerjasama baik dalam segala urusan dijalankan dan berharap terus kekal menjadi budaya hidup penduduk.

Mereka diraikan dalam majlis itu terdiri daripada 16 orang Ahli Majlis PBT, tujuh ketua kampung, 17 Pengerusi PeBT,  tiga Penyelia PWB dan 13 kakitangan Pejabat DUN Sri Muda.

-nR-

Categories
NASIONAL SELANGOR

16 SAR dan SRJK(c) di Sri Muda Terima RM 446 Ribu

SHAH ALAM, 29 JUN : Sumbangan RM 170 ribu kepada Sekolah Menengah Islam (SMI) dan Sekolah Rendah Islam (SRI) Ibnu Khaldun dari Selangor memberi makna besar bagi pembangunan kedua-dua sekolah berteraskan Islam itu.

Pengerusinya, Hamdan Mokhtar berkata, pihaknya berbesar hati menerima bantuan pendidikan itu buat pertama kali dan dana tersebut boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sekolah itu.

Hamdan mensasarkan pertambahan pelajar di kedua-dua sekolah itu sebanyak 400 hingga 500 orang bagi menjadikan populasi keseluruah lebih kurang 1,500 pelajar.

“Dengan peruntukan ini kita akan merancang pembangunan dengan penuh teliti untuk memanfaatkannya demi kepentingan anak-anak kita yang belajar di kedua-dua sekolah ini.

“Kita merancang membina 48 bilik kelas tambahan, kantin, dewan makan dan surau.

Ia bersesuaian dengan usia sekolah yang sudah lebih 20 tahun,” katanya selepas majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Selangor Kepada Sekolah-Sekolah DUN Sri Muda di SMI Ibnu Khaldun di sini hari ini.

Dalam majlis itu, SMI dan SRI Ibnu Khaldun masing-masing menerima sumbangan RM 100 ribu dan RM 70 ribu yang disampaikan ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Shuhaimi turut menghulurkan sumbangan sama kepada 16 sekolah lain iaitu 14 Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dengan jumlah keseluruhan RM 446 ribu.

Kesemua sekolah itu masing-masing menerima sumbangan dari RM 5 ribu hingga RM 100 ribu.

Shuhaimi berkata, bantuan itu adalah sebahagian dari dana RM 9 juta yang disediakan bagi pembangunan pendidikan di seluruh Selangor.

“Peruntukan RM 446 ribu disalurkan bagi 16 SAR dan dua SJKC bagi DUN Sri Muda bagi Fasa Pertama tahun ini.

Kita akan terus memberikan bantuan ini kepada semua sekolah yang lain dalam Fasa Kedua nanti yang dijangka akan bermula pada Julai depan.

“Kita berharap sekolah yang belum menerima bantuan ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkannya, ” katanya.