Categories
PBT SELANGOR

Sasar sejuta pengunjung Tahun Melawat Klang 2017

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 28 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyasarkan sejuta pengunjung dalam dan luar negara ke daerah itu sempena Tahun Melawat Klang 2017.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, MPK kini sedang giat melaksanakan pelbagai bentuk promosi sebagai usaha menonjolkan Klang sebagai salah satu destinasi pelancongan di Selangor.

Katanya, MPK juga akan bersama pihak Tourism ke Berlin, Jerman untuk menyerahkan ‘kit’ yang mengandungi pelbagai maklumat berkenaan daerah itu bagi tujuan promosi, awal Mac ini.

“Tahun 2017, diwartakan sebagai Tahun Melawat Klang oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

“Oleh itu, kita memperuntukan lebih RM500,000 untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi menarik kehadiran pengunjung dalam dan luar negara.

“Dijangkakan sebanyak 20,000 pengunjung setiap minggu akan ke daerah ini,” katanya selepas perasmian Tahun Melawat Klang 2017 di Dewan Raja Mahadi, di sini.

Antara aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ialah Royal Klang Town Heritage Walk, Jom Berkelah, ‘We Love Klang Treasure Hunt’, lawatan ke Pulau Ketam, pertandingan memancing selak tirai, Klang Arts Festival, pertandingan fotografi Jambatan Kota, kayuhan basikal klasik dan ‘We Love Klang Food Festival’.

Selain itu, katanya, antara lain produk pelancongan yang menarik di Bandar Diraja Klang ialah Istana Alam Shah, Galeri Diraja, Pusat Pemborong Terbesar di Asia Tenggara GM Klang, Royal Klang Heritage Walk dan Boustead Cruise Centre.

Yasid berkata Ahli Jawatankuasa Kecil Pelancongan turut ditubuhkan dan semua Ahli Majlis akan digerakan untuk membantu menjayakan Tahun Melawat Klang 2017 itu.

“Orang ramai boleh mengakses laman sesawang MPK bagi mengetahui program dan produk pelancongan di daerah Klang ini,” katanya.

Pada Disember 2015, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mahu Klang diwartakan sebagai Tahun Melawat Klang 2017 kerana daerah terbabit mempunyai pelbagai kenangan sejarah tersendiri.

Sebelum ini, Tourism Selangor optimis kehadiran pelancong asing ke Selangor meningkat seramai 7.4 juta bagi 2017 berbanding sasaran 7.2 juta pelancong bagi 2016.

=EZY=