Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor perluas misi pelaburan aero angkasa di India

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 FEB: Selepas Jepun, misi pelaburan negeri kini diperluaskan ke India bagi menerokai peluang pelaburan dalam bidang teknologi dan aero angkasa.

Gerak kerja tersebut diketuai Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim bersama delegasi Kerajaan Negeri yang tiba di Hyderabad dan New Delhi sejak semalam.

“Acara pertama di Hyderabad ialah perasmian Bio Asia 2017, konvensyen yang ke-14 sejak 2004, oleh Governor Negeri Telangana, Narasimhan.

“Saya diberi penghormatan untuk berucap pada majlis perasmian itu,” kata Teng di Facebook.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menjangkakan perolehan RM750 juta mampu diraih hasil daripada misi pelaburan dan perlaksanaan Selangor Aeroangkasa.

Daripada jumlah itu, 200 pekerja tenaga mahir juga bekerjasama bagi membangunkan industri terbabit.

Menyokong kepada pelaksanaan itu, kilang pengeluaran selongsong kipas untuk enjin jet Rolls-Royce Trent 1000 dan Trent 7000 dijangka bakal siap hujung tahun ini serta dijangka beroperasi tahun depan.

UMW Aerospace yang didirikan di kawasan tanah berkeluasan 12 hektar di Serendah itu selaras inisiatif Kerajaan Negeri untuk memfokuskan industri terbabit.

Fasiliti terbabit akan bertindak sebagai penyewa utama bagi cadangan Taman Pengeluaran Logam Keras Aeroangkasa oleh UMW.

=EZY=