Categories
NASIONAL

Sistem perisikan negara perlu diperbaiki

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 FEB: Kes kematian abang tiri pemimpin Korea Utara, Jong Nam menunjukkan pasukan perisikan di Malaysia memerlukan penambahbaikan segera.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, ia disebabkan pasukan perisikan negara dibebankan dengan risikan terhadap parti pembangkang yang dirasakan mengancam kuasa Umno-BN di Putrajaya.

Katanya, dasar mengarut itu semakin menyesatkan hingga memberi impak besar dan negatif kepada negara terutama apabila berlaku kes berprofil tinggi.

“Ia adalah pembunuhan terancang yang semestinya sukar dihidu melainkan jika kita ada risikan yang bertaraf dunia.

“Tetapi, kita tidak dapat apa-apa maklumat sebelum pembunuhan itu, menunjukkan kita lemah dari segi risikan dilakukan atau mungkin terlalu sibuk merisik Pakatan Harapan menjelang pilihan raya ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Pada 13 Februari lalu, Jong-nam, abang kepada Kim Jong Un, dihampiri dua wanita yang bertindak menyapu mukanya dengan bahan beracun, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2).

Beliau yang menggunakan nama Kim Chol disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Polis kini berdepan cabaran apabila sukar mendapat kerjasama Kedutaan Korea Utara yang mendakwa kerajaan Malaysia menyembunyikan sesuatu tentang pembunuhan itu.

Mengulas perkembangan berkenaan, Khalid berkata, ia adalah sesuatu yang amat memalukan negara.

“Malaysia sudah berhadapan dengan banyak masalah dan terbaru Korea Utara sewenang-wenangnya cakap tak percaya Polis.

“Ini juga perkembangan tidak sihat untuk hubungan antarabangsa kita dengan negara berkenaan atau mungkin kita dapat tanganinya dengan menjalin hubungan lebih baik dengan China, saya tidak pasti,” katanya.

=EZY=