Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sokongan kepada MB melonjak 62% menjelang PRU-14

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 FEB: Sokongan rakyat Selangor terhadap Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Dato’ Menteri Besar meningkat kepada 62 peratus berbanding 58 peratus sebelum ini, berdasarkan kajian terbaru Institut Darul Ehsan (IDE).

Timbalan Pengerusi IDE, Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, hasil dapatan itu diperoleh daripada Survei Persepsi Rakyat Selangor 2017 yang dijalankan, bermula 8 hingga 13 Februari lalu.

Katanya, ia dilaksanakan secara sistematik membabitkan 50 enumerator terlatih secara bersemuka dengan 2,018 responden di 56 DUN.

“Peningkatan ini satu petanda positif kepada kepimpinan beliau meneraju Selangor untuk pilihan raya akan datang.

“Peningkatan kepercayaan mencerminkan pendekatan mesra rakyat dan tindakan pro aktif beliau bersama kepimpinan negeri dalam menyelesaikan masalah amat berkesan serta efektif.

“Survei ini juga mendapati Dato’ Menteri Besar pemimpin mesra rakyat, turun padang dan mampu membawa kemajuan,” katanya merujuk hasil dapatan survei.

3. HIGHER RESO-pestasi MB Feb 2017Survei merangkumi penyelidikan dalam pelbagai genre isu semasa seperti jika berlaku pertandingan dua atau tiga penjuru, pengaruh media sosial, persepsi rakyat terhadap parti politik, pandangan terhadap isu semasa, prestasi perkhidmatan pihak berkuasa tempatan, pencapaian inisiatif Kerajaan Negeri dan lain-lain.

Mohammad Redzuan berkata, hasil dapatan survei juga menunjukkan sokongan terhadap gabungan PAKATAN di bawah kepimpinan Menteri Besar terus kukuh dan dijangka tidak menghadapi masalah mengekalkan kerajaan sedia ada.

“Namun, sokongan kepada Barisan Nasional di Selangor didapati semakin merosot dan amat terserlah ketidakpuasan hati rakyat dalam isu berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan harga barang, penyelewengan, keyakinan kepimpinan dan rasuah,” katanya.

Untuk makluman, IDE menggunakan inovasi terkini dalam penyelidikan berkenaan menggunakan tablet dan aplikasi IDE e-survey yang dibangunkan sendiri.

Ia membolehkan profil sampel responden, lokasi enumerator dan tugasan mereka dipantau secara ‘real time’ di bilik operasi bagi memastikan ketepatan survei berdasarkan profil responden yang ditetapkan.

Responden terdiri daripada pelbagai kaum melibatkan Melayu, Cina dan India serta pelbagai latar belakang pekerjaan, tempat tinggal, taraf pendidikan dan lain-lain.

Selain daripada survei dijalankan, IDE juga mengadakan temuduga berkelompok dengan pelbagai kumpulan bagi menentukan keabsahan dapatan.

-AA-