Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor tidak berkenan kenderaan jenazah disalah guna

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 FEB: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenaan kenderaan jenazah disalah gunakan dengan tujuan membuat demonstrasi.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Setiausaha Sulit banginda, Dato’ Mohamad Munir Bani, baginda bertitah kenderaan berkenaan hanya boleh digunakan untuk melakukan urusan jenazah sahaja.

“Adalah saya dengan hormatnya menyampaikan titah DYMM Sultan Selangor kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Masjid atau Ahli majlis Jawatankuasa Kariah yang bertanggungjawab supaya menjaga dengan baik kenderaan jenazah di bawah seliaan mereka dan memanfaatkannya untuk urusan membawa jenazah sahaja.

“Baginda tidak berkenan kenderaan jenazah itu disalah gunakan selain daripada urusan membawa jenazah seperti disewa untuk membuat demonstrasi atau kegunaan lain yang tiada mengena dengan urusan pengendalian jenazah,” kata kenyataan itu.

Sultan Sharafuddin bertitah, tindakan itu hanya memperlihatkan umat Islam mempersendakan penggunaan kereta jenazah yang tidak sepatutnya dilakukan.

Baginda juga mahu pihak yang menyelia dan mengawal kenderaan jenazah mengambil maklum dan mematuhi titahnya.

Kenyataan terbaru itu dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang membawa 15 van jenazah ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, pada 14 Februari lalu.

Jamal turut membawa keranda dan berpakaian seperti penggali kubur serta mempertikaikan beberapa program negeri, termasuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Wang Khairat Kematian.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan pemimpin Umno itu yang mengeksploitasi aset masjid untuk tujuan demonstrasi.

-AA-