Categories
NASIONAL

Tiga cedera kereta rempuh kren

SHAH ALAM, 10 FEB: Gara-gara melanggar lampu merah di persimpangan berhampiran Giant di Jalan Putra Permai, Bandar Seri Kembangan, dua kenderaan bertembung menyebabkan satu daripadanya terbakar.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, kejadian pada jam 12.30 tengah malam tadi berlaku apabila sebuah kereta Proton Iswara dari arah Seri Kembangan dipercayai melanggar isyarat lampu merah dan merempuh sebuah kren dari arah Puchong.

“Akibat rempuhan itu kereta berkenaan terbakar, namun pemandu dan dua penumpangnya berjaya menyelamatkan diri,” katanya kepada Bernama.

Megat Mohamad Aminuddin berkata, mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 dan 27 tahun itu hanya mengalami cedera ringan serta dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan, manakala pemandu kren tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat menurut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-AA-