Categories
SELANGOR

Kes perceraian di Selangor meningkat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 FEB: Selangor mencatatkan 12,578 kes perceraian bagi tahun 2016 dengan peningkatan 705 kes berbanding 11,873, pada 2015.

Statistik itu menunjukkan Selangor mencatatkan kes perceraian tertinggi di Malaysia buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2014 dengan 11,297 kes.

Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, beliau memandang serius peningkatan angka itu tanpa menafikan umat Islam adalah majorriti penduduk di negeri ini.

“Saya sangat memandang serius isu ini kerana percaya keutuhan dan keharmonian institusi kekeluargaan menjadi penyumbang kelestarian kehidupan masyarakat serta negara yang sejahtera.

“Jika institusi kekeluargaan mantap dan utuh, sudah pasti ia mewujudkan ketenteraman masyarakat,” katanya dalam sidang media selepas Himpunan Penjawat Awam Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor, di sini.

Mengikut kajian, kes perceraian berpunca daripada tiada persefahaman, tidak memahami tanggungjawab, kahwin muda dan campur tangan orang ketiga.

Selain itu, masalah dadah, pasangan curang, enggan bermadu serta isu remeh-temeh turut menyumbang kepada peningkatan perceraian di Selangor.

-AA-