Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tindakan ADN BN tukar alamat mengundi dipertikai

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 FEB: Tindakan Ahli Dewan Negeri Barisan Nasional (BN), Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang menukar alamat ke Batang Kali supaya beliau boleh mengundi di tempat asalnya dipersoalkan.

ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, Mat Nadzari sepatutnya membantah tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini yang menukar alamatnya secara tiba-tiba ke Kuala Kubu Bahru.

“Mengapa beliau menukar alamat sendiri tetapi tidak membantah proses ‘belah bahagi’ yang tidak munasabah ini?

“Alamat juga tidak dinyatakan dengan jelas dan hanya Sungai Kamin, sedangkan kawasan itu adalah perumahan lama yang wujud sejak 30 tahun lalu,” katanya kepada SelangorKini.

Kee Hiong berkata, selain Mat Nadzari, lebih 50 pengundi turut menukar alamat ke perkampungan itu.

Pada 21 Oktober 2016, peguam yang mewakili tiga pengundi di DUN Batang Kali dan Kuala Kubu Bharu memfailkan semakan kehakiman di Mahkahmah Tinggi Kuala Lumpur untuk memohon membatalkan hasil proses ‘belah bahagi’ dilakukan SPR, pada 29 April 2016 dan disiarkan di Warta Kerajaan Persekutuan P.U.(B) 197.

lee kee hiongProses ‘belah bahagi’ dilakukan SPR menerusi Seksyen 7(2) Akta Pilihanraya 1958.

Dalam persempadanan semula diumumkan SPR pada 15 September 2016, sempadan P94 Hulu Selangor yang termasuk DUN Batang Kali dan KKB tidak terjejas.

Ini bermakna bantahan pengundi yang dipindahkan dari Batang Kali ke KKB dan sebaliknya di bawah proses ‘belah bahagi’ tidak akan didengar ketika berlakunya semakan juga pendengaran awam terhadap persempadanan semula.

Sementara itu, dalam persempadanan semula yang berlaku dalam Parlimen Hulu Selangor itu, seramai 5,590 pengundi dipindahkan ke DUN Kuala Kubu Bharu dari DUN Batang Kali, manakala wujud penukaran 56 pengundi dari DUN Kuala Kubu Bharu ke DUN Batang Kali.

Mengulas lanjut, Kee Hiong berkata, pihaknya akan membuat rayuan semakan kehakiman semula selepas ditolak SPR atas alasan teknikal.

-AA-