Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M buat kejutan hadir di Konvensyen Reformasi, gesa tolak Najib

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 25 FEB: Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad secara mengejut mencetus suasana riuh serta sorakan reaksi kepada kemunculan bekas Perdana Menteri itu di Majlis Konvensyen Reformasi Malaysia 2017 di Ideal Convention Center (IDCC), Shah Alam, pagi tadi.

Keadaan itu sedikit hingar apabila ada sorakan negatif terhadap beliau kerana kehadirannya tidak dimaklumkan penganjur.

Walaubagimanapun bekas perdana menteri itu kelihatan tenang dan bersahaja ketika menyampaikan ucapan beliau berkaitan pandangannya terhadap reformasi.

Mahathir berkata, beliau juga adalah hasil daripada reformasi dan pentingnya reformasi dalam kehidupan manusia bertamadun bagi menentang dan mengubah kezaliman kerajaan terhadap rakyat.

“Hari ini kita lihat keadaan negara amat buruk termasuk pemimpin lama seperti saya.

“Tetapi hari ini bukan sahaja buruk tetapi kita mempunyai penyagak dan pencuri yang menjadi perdana menteri kita,” katanya ketika berucap.

Tun Mahathir berkata, motif utama perjuangan dan reformasi adalah untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau lebih tepat adalah untuk menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Saya tahu saya bukanlah orang yang disukai kerana masih ramai lagi yang tak suka, tetapi kalau kita berperang sesama sendiri sekarang maka reformasi kita akan gagal.

“Sebab itu saya tekankan disini kita lupakan yang lama dan kita perlu bersatu terlebih dahulu jatuhkan Najib,” katanya.

=EZY=