Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M ke mahkamah bersolidariti bersama Anwar

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini untuk bertemu Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertemuan selama 45 minit itu adalah kali kedua membabitkan kedua-dua tokoh berkenaan.

Mahathir ketika ditemui berkata, pertemuan itu bagi membincangkan hal ehwal politik semasa negara dan kerjasama antara parti.

Katanya, kedua-dua mereka bersetuju berkenaan keadaan politik semasa negara dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus berundur.

“Kita (PPBM) komited mengukuhkan pembangkang. Berhubung pertemuan kami, kami bersetuju berkenaan hal ehwal politik semasa negara dan Najib harus pergi kerana dia menjual negara ini,” katanya.

TUN MPengerusi PPBM itu membuat kejutan apabila hadir kira-kira jam 11.45 dan duduk bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Anwar hadir di mahkamah susulan samannya terhadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Pertemuan itu berlangsung semasa mahkamah berhenti rehat.

Sebelum prosiding mahkamah bermula, Presiden PPBM yang juga Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bertemu Anwar.

-AA-