Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

ADN cadang individu 21 tahun terus layak mengundi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 MAC: Rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas sewajarnya dibenarkan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam pilihan raya tanpa perlu mendaftar di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pelek, Lai Nyuk Lan berkata, cadangan itu lebih mudah tanpa perlu terikat dengan pelbagai prosuder di peringkat persekutuan yang menyukarkan.

“Saya mencadangkan Kerajaan Persekutuan supaya setiap individu berumur 21 tahun ke atas dibenarkan secara automatik menjadi pengundi baru.

SPR (7)“Ia lebih memudahkan tanpa perlu (pengundi) membuat pendaftaran kepada SPR kerana melalui prosuder sedia ada, ramai pengundi baru terpaksa terikat dengan syarat itu.

“Tindakan ini membuang masa mereka dan sewajarnya prosuder dan syarat pengundi baru ini diubah supaya ia lebih mesra pengundi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas hadir mengemukakan bantahan kepada SPR pada taklimat Sesi Pendengaran Siasatan Awam, di sini, hari ini.

Terdahulu, SPR berperanan untuk mendaftarkan warganegara yang layak sebagai pemilih supaya mereka dapat menyertai proses memilih wakil rakyat dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Antara syarat utama individu berkelayakan untuk mendaftar sebagai pemilih adalah mencapai umur 21 tahun, bermastautin di bahagian pilihan raya yang ingin didaftarkan dan tidak hilang kelayakan oleh undang-undang yang berkuat kuasa.

Pada masa sama, SPR juga menerima permohonan pemilih berdaftar untuk memohon mendaftarkan alamat tertentu atau pertukaran alamat mengundi.

Bagaimanapun, SPR berhak mengambil sebarang keterangan daripada pengundi baru atau sedia ada sekiranya wujud keraguan munasabah berkait pendaftaran pemilih.

-NFN-