Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Akaun SMUE sudah, 1MDB dan Permata bila lagi nak dedah?

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 23 MAC: Bagi membuktikan ketelusan dan kebertanggungjawaban memikul amanah menguruskan pembayaran Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin mendedahkan kesemua akaun dan dokumen bayaran kepada penerima manfaat skim terbabit.

Pengerusi Wanita DAP Selangor, Hannah Yeoh, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga dituntut mengambil langkah sama bagi menafikan segala salah laku kerana membabitkan dana pembayar cukai.

“Saya rasa tak salah sesiapa nak bertanya. Jamal juga boleh bertanya soalan kerana kita berurusan dengan wang pembayar cukai tetapi jabatan atau agensi kerajaan jangan terlalu defensif.

“Bila Bee Yin persoal akaun Permata, apa yang perlu dilakukan hanya keluarkan akaun Permata seperti mana Jamal persoal akaun SMUE, Bee Yin dah tunaikan dengan tunjukkan akaun SMUE.

“Kalau Ahli Parlimen tanya akaun 1MDB, dedahkan akaun 1MDB. Kita tak perlu melatah, defensif, sensitif bila soalan mengenai duit pembayar cukai dibelanjakan,” kata Hannah Yeoh pada sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Damansara Utama di sini, semalam.

Jelasnya, Bee Yin mengambil langkah tepat dengan memberi peluang pihak yang berminat menyemak akaun dan dokumen pembayaran SMUE.

Sebelum itu, petugas media yang hadir membuat liputan sidang media itu berpeluang melihat sendiri akaun dan dokumen bayaran dibuat DUN Damansara Utama kepada penerima.

=EZY=