Categories
GLOBAL

Apa yang berlaku DUNIA hari ini?

Berikut adalah rumusan dan rangkuman berita antarabangsa sehingga jam 05.00 PETANG 21 MAC 2017 seperti dilaporkan agensi berita antarabangsa:

 

1. DUBAI: Syarikat milik kerajaan Dubai berjaya menyiapkan janakuasa 200 megawat sebulan lebih awal daripada jadual dalam perancangan negara itu untuk membina taman tenaga solar terbesar dunia pada 2030. – BLOOMBERG

2. CAYENNE: Pelancaran sebuah roket Perancis, Ariane 5, yang membawa dua satelit komunikasi Brazil dan Korea Selatan ke orbit terpaksa ditunda hari ini selepas kakitangan organisasi terbabit dilaporkan mogok. – AFP

3. MEXICO CITY: Mexico menemui ‘senjata berpotensi’ bakal digunakan dalam pertembungan ekonomi dengan Presiden Amerika Syarikat iaitu dalam industri jagung. Negara latin itu mengimport daripada Amerika Syarikat mencecah nilai berbilion USD setiap tahun. – AFP

4. INDONESIA: Helikopter jenis bell NBO 105 milik Polis Indonesia mendarat cemas di desa Wanakerta, Sindang Jaya. Tangerang, Banten. Helikopter itu mendarat cemas ekoran berlaku masalah enjin. – KOMPAS.COM

5. SOMALIA: Pelakon Hollywood dan beberapa bintang media sosial berjaya kutip dana berjumlah AS$2 juta (RM8.86 juta) bagi membantu rakyat Somalia yang terjejas teruk akibat masalah kebuluran. – ASTRO AWANI

6. FLORIDA : Syarikat aeroangkasa, pertahanan dan teknologi termaju Amerika Syarikat (AS), Lockheed Martin mendedahkan perancangan untuk menghantar angkasawan dalam ‘perjalanan mengembara’ Marikh yang memakan masa selama tiga tahun.

Ketika mesyuarat Jawatankuasa Kelab Angkasa Kebangsaan Florida baru-baru ini, bekas juruterbang kapal angkasa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Tony Antonelli menjelaskan, konsep pembinaan ‘pangkalan kem Marikh’ mungkin menjadi kenyataan seawal 2028. – DAILY MAIL

7. BRUSSELS  : Perdana Menteri Britain, Theresa May akan menulis sepucuk surat kepada Kesatuan Eropah (EU) bagi mengumumkan pengunduran negara itu daripada blok berkenaan pada 29 Mac ini. – REUTERS/AFP

8. CAEN, PERANCIS – Sebuah termometer mini yang direka seperti pil kapsul biasa mampu menyelamat nyawa pesakit berumur atau mereka yang mempunyai masalah kadar imunisasi rendah, kata pasukan penyelidik di sini.

Pil ‘pintar’ yang dinamakan sebagai e-Celsius itu berfungsi sebagai sistem amaran awal dengan mengesan suhu badan seseorang pesakit sama ada meningkat atau menurun ke tahap berbahaya. Pesakit perlu menelan pil tersebut terlebih dulu. – AGENSI

9. OTTAWA:  Sekumpulan saintis menemui beberapa serpihan yang mengandungi kerak Bumi dipercayai berusia 4.3 bilion tahun di kawasan Great Lakes di sini baru-baru ini.

Bumi yang dianggarkan kini berusia kira-kira 4.6 bilion tahun menyebabkan pasukan saintis menyifatkan ia mungkin sebahagian daripada peninggalan kerak asal Bumi sekali gus merupakan pembentukan kerak Bumi tertua. – AGENSI

10. SEOUL: Kapal selam serangan pantas berkuasa nuklear Amerika Syarikat menyertai latihan tahunan bersama tentera Korea Selatan dalam tindakan terbaru menunjukkan kekuatan terhadap Korea Utara, kata sumber pertahanan di Korea Selatan. YONHAP NEWS

11. KUALA LUMPUR: Pemain boling padang negara, Nor Hashimah Ismail, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dalam kejohanan Perseorangan Piala Dunia selepas tewas dalam saingan separuh akhir, hari ini. – BERNAMA.

12. UNITED KINGDOM: Kadar inflasi di UK diramal tinggi dalam tempoh tiga tahun pada kadar 2.1 peratus. Laporan rasmi menjangkakan kenaikan indeks harga pengguna lebih 2 peratus pertama kali sejak 2013 ekoran kejatuhan pound ekoran isu Brexit. – THE GUARDIAN

 

DISEDIAKAN OLEH: MOHD EZLI MASHUT