Categories
SELANGOR

BBC DNS cabar pembangkang berani kemuka bukti sahih isu SMUE

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 MAC: Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC DNS) mencabar wakil rakyat pembangkang, Umno-BN mengemukakan bukti sahih dengan kenyataan di luar Dewan Neger Selangor (DNS) berhubung isu Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata tuduhan dilakukan tanpa bukti kukuh dalam sidang DNS tidak boleh diterima dan ia adalah amalan tidak sihat.

“Perkara ini adalah tuduhan jahat dan fitnah kerana setiap pembayaran menggunakan peruntukan SMUE ini diaudit tetapi mereka mendedahkan dalam sidang dewan mengenai minit mesyuarat apa kita pun tidak tahu.

“Ia tuduhan tiada asas maka kita minta jika terdapat bukti seperti dinyatakan ADN Damansara Utama, Yeo Bee Yin, ada menggunakan RM35,000 maka nyatakan di luar dewan dan jangan gunakan imuniti dewan,” katanya dalam sidang media di lobi DNS di sini, semalam.

Dalam sidang DNS, beberapa ADN Umno-BN khususnya ADN Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus membangkitkan isu terbabit dengan tuduhan beberapa ADN termasuk Ahli Parlimen PAKATAN dalam isu SMUE.

ADN Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar berkata, SMUE adalah skim bantuan yang dijalankan sejak 2008 yang memberi manfaat kepada kira-kira 80,000 penerima setakat ini dan kini Umno-BN Selangor dianggap habis idea kerana baru kini membangkitkan perkara berkenaan.

“Ia mudah sahaja bila ada kematian, kita sebagai wakil rakyat mengeluarkan wang RM1,000 kepada waris dan rekod itu diserahkan kepada Pejabat Daerah maka tidak mungkin akan berlaku penyelewengan,” katanya.

ADN Hulu Kelang, Saari Sungip pula menjelaskan tuduhan liar dilemparkan itu juga dilihat bukan setakat ditujukan kepada wakil rakyat PAKATAN tetapi turut menjadikan penjawat awam di Selangor sebagai sasaran.

Sementara itu, ADN Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata, maklumat baru diterima menyatakan Umno Selat Klang telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dipercayai mengaitkan isu terbabit terhadap dirinya.

“Tetapi bagi saya, ia tiada isu kerana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) membuat audit berkala dan kita tiada masalah kerana mempunyai segala fail dan dokumen, kita bersedia bekerjasama. Bagi saya ia bermotif politik,” katanya.

=EZY=